Dr. Wan Azizah rai isteri pemimpin ASEAN, angkat warisan seni Malaysia, pameran telepuk, bunga orkid jadi perhatian


  • Primer
  • Selasa, 27 Mei 2025

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meraikan kehadiran isteri kepada pemimpin-pemimpin kerajaan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

DALAM suasana penuh gemilang, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meraikan kehadiran isteri kepada pemimpin-pemimpin kerajaan dan negara ASEAN sempena Program Pasangan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Majlis berprestij itu bukan sekadar acara diplomasi biasa, malah menjadi platform istimewa memperkenalkan kekayaan warisan seni dan budaya Malaysia kepada delegasi antarabangsa.

Dr. Wan Azizah menzahirkan rasa berbesar hati atas peluang menjadi tuan rumah kepada para tetamu kehormat dari seluruh rantau ASEAN.

“Saya amat berbesar hati dapat meraikan pasangan pemimpin ASEAN dalam majlis yang bukan sahaja memperkukuh hubungan serantau tetapi turut memartabatkan warisan kesenian negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

BACA LAGI: [VIDEO] Supermodel Britain turun Malaysia demi misi selamatkan harimau Malaya daripada terus pupus

BACA LAGI: 10 tahun selepas tragedi Kinabalu, kakak berjaya habiskan pendakian adik yang terkorban sebelum tiba di puncak

Antara tarikan utama program itu adalah demonstrasi kraf tempatan anjuran Kraftangan Malaysia yang membawakan proses pewarnaan batik, sulaman tekat benang emas serta teknik pembuatan wau tradisional yang dipersembahkan secara langsung agar tetamu menyaksikan sendiri kehalusan seni tangan Malaysia.

Pameran eksklusif songket dan telepuk hasil kerjasama Yayasan Hasanah turut mencuri tumpuan, di samping pameran orkid VIP oleh Perbadanan Putrajaya yang menambah seri pada suasana majlis.

Majlis makan tengah hari pula diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan.

Antaranya, persembahan choral speaking oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama yang memukau tetamu dengan semangat dan kepetahan mereka.

Persembahan tarian tradisional oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Selangor serta iringan muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan turut mencipta aura kebudayaan yang mempesona.

Lebih istimewa, kehadiran tetamu disambut dengan paluan gendang dan perarakan bendera oleh murid-murid sekolah rendah sekitar Putrajaya, hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Kehadiran generasi muda itu menyemarakkan lagi semangat kekeluargaan dan kebersamaan ASEAN.

Dr. Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis itu.

“Semoga hubungan baik dan semangat kekeluargaan ASEAN terus diperkukuh demi mengangkat martabat rantau ini ke tahap lebih gemilang,” tambah beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram