
BUKAN untuk penggambaran filem mahupun kempen fesyen, kehadiran model terkenal Britain, Cara Delevingne ke Malaysia kali ini membawa misi yang jauh lebih bermakna iaitu menyelamatkan Harimau Malaya yang kini di ambang kepupusan.
Meninggalkan gaya glamor yang sinonim dengannya, Delevingne tampil lebih santai dan bersedia menyusuri belantara Malaysia selama seminggu sebagai sebahagian daripada kempen pemuliharaan harimau liar yang kian pupus.
Setiap detik misinya turut dirakam dan dikongsikan kepada jutaan pengikutnya di Instagram.
BACA LAGI: Pilihan 'reinvented' klasik hingga moden, 6 beg tangan jadi aksesori sempurnakan gaya wanita
"Dengan hanya kira-kira 150 ekor Harimau Malaya yang masih wujud di hutan Malaysia, kita harus lakukan apa sahaja untuk memulihara dan mengembalikan populasi mereka.
“Pemburu haram kini menjadi pemangsa paling berbahaya di hutan tropika berusia 130 juta tahun ini. Masih ada harapan, kita masih belum terlambat untuk menyelamatkan mereka," tulisnya dalam satu hantaran yang disiarkan pada Ahad.
Dalam usahanya meningkatkan kesedaran, Delevingne turut berkongsi pengalaman lawatannya ke beberapa lokasi penting termasuk menyusuri hutan hujan dan menghadiri persembahan kebudayaan tempatan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakyat Malaysia teruja dengan kehadirannya serta menghargai komitmennya terhadap misi alam sekitar ini.
"Selamat datang ke Malaysia! Terima kasih kerana sudi datang dan meningkatkan kesedaran," tulis Arther.li.
“Selamat datang ke Malaysia," tulis Benjamin Ahmadd1.
“Terima kasih kerana mencipta kesedaran tentang Harimau Malaya. Selamat datang ke tanah air kami," tulis Noor Azrina.
“Perkongsian yang sangat bermakna! Terima kasih," tulis Jolenekdt. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram