
MALAYSIA terus mencipta nama di persada sains antarabangsa apabila tiga saintis muda tempatan dipilih menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74, yang dijadual berlangsung di Jerman dari 29 Jun hingga 4 Julai depan.
Dianjurkan secara tahunan sejak 1951, mesyuarat berprestij yang memfokuskan dalam bidang kimia pada tahun ini, menghimpunkan sekitar 35 penerima Hadiah Nobel dan lebih 600 saintis muda dari 84 negara.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, tiga wakil Malaysia yang terpilih ialah pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Sains Gunaan (Kimia Gunaan) daripada Universiti Teknologi Petronas, Nur Diyan Mohd Ridzuan, 30; pensyarah kanan di Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34 dan pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr Mak Kit Kay, 33.
BACA LAGI: [VIDEO] Jualan cecah 50,000 botol sebulan, pengasas Beauboss Perfume tak main 'cheat code'
BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya dalam gaya Gen Z
Menurutnya, penyertaan tersebut memberi peluang luar biasa kepada saintis muda tempatan untuk berinteraksi dan bertukar pandangan bersama tokoh-tokoh sains terkemuka dunia dalam suasana rasmi dan santai.
Menteri MOSTI, Chang Lih Kang menyifatkan pemilihan tiga penyelidik muda itu sebagai manifestasi kemampuan bakat sains negara.
"Penyertaan mereka adalah bukti keupayaan saintis muda Malaysia bersaing di pentas antarabangsa.
"Ia seiring dengan komitmen MOSTI untuk membina generasi penyelidik masa depan melalui pelaburan jangka panjang dalam pembangunan bakat STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik)," katanya dalam kenyataan.
Penyertaan tersebut adalah bukti keupayaan saintis muda Malaysia untuk bersaing di pentas antarabangsa. — Gambar hiasan
1) Ana Masara Ahmad Mokhtar
Pensyarah itu kini giat menerajui penyelidikan inovatif yang berpotensi membawa perubahan besar dalam rawatan kanser dan penyakit imun.
Berbekalkan kepakaran dalam bidang biokimia dan teknologi molekul, Ana Masara bukan sahaja dikenali kerana kecemerlangan latar akademik, malah komitmen dalam mengetuai kumpulan penyelidikan memfokuskan pada Small G Protein, menjadikan beliau antara figura penyelidik muda yang menyerlah di USM.
Wanita itu juga menghasilkan penyelidikan menerusi teknik molekul seperti kloning, mutagenesis dan ujian kinases.
Beliau memulakan perjalanan akademik dengan meraih Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan Kelas Pertama daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2014.
Enam tahun kemudian, Ana Masara menamatkan pengajian PhD dalam Biokimia di University of Cambridge, United Kingdom (UK).
Sebagai tokoh muda yang aktif, beliau dilantik sebagai jurulatih Sijil Profesional dalam Daging Kultur anjuran USM, sekali gus menunjukkan keterlibatannya dalam bidang makanan masa depan dan bioindustri.
Beliau juga merupakan penceramah awam yang aktif dalam mendidik masyarakat tentang rintangan antimikrob dan pentingnya penyelidikan berorientasikan kelestarian.
Ana Masara dilantik sebagai jurulatih Sijil Profesional dalam Daging Kultur anjuran USM. — Gambar hiasan
2) Mak Kit Kay
Berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Kit Kay mempunyai latar belakang kukuh dalam kimia farmaseutikal dan penyelidikan penemuan ubat.
Sewaktu menyiapkan PhD di IMU, beliau menerbitkan lapan kertas kajian dalam jurnal terkemuka dan meraih Anugerah Kertas Saintifik Cemerlang TienTe Lee Biomedical Foundation (TLBF‑YSP) 2023, atas sumbangan luar biasanya dalam bidang bioperubatan, khususnya berkaitan rawatan potensi penyakit neurodegeneratif seperti alzheimer, parkinson dan demensia.
Kajian Kit Kay tertumpu pada sebatian bioaktif 6-Shogaol, yang terdapat secara semula jadi dalam halia.
Beliau berjaya membangunkan pendekatan baharu dalam mereka bentuk dan mencipta molekul mirip ubat menggunakan gabungan kecerdasan buatan (AI) serta teknik penemuan ubat berasaskan komputer.
Pendekatan itu juga menyokong kelestarian alam sekitar melalui penggunaan pemangkin hijau baharu dalam sintesis molekul-molekul terapeutik.
Antara pencapaian antarabangsa yang pernah diraih beliau termasuk, tempat tiga teratas dalam Cabaran Saintifik Antarabangsa BiosolveIT di Jerman, penerima Anugerah Penyaringan Molekul AI Atomwise (AIMS) di Amerika Syarikat dan penerima biasiswa Wellcome Trust untuk latihan penemuan ubat di University of Dundee, UK.
Pada 2021, Kit Kay turut disenaraikan sebagai finalis Anugerah Chrysalis YSN-ASM dan pertandingan Fame Lab anjuran British Council.
Kepakaran Nur Diyan tertumpu pada katalisis heterogen, penghasilan nano-katalis dan penggunaan graphene dalam pelbagai aplikasi tenaga serta alam sekitar. — Gambar hiasan
3) Nur Diyan Mohd Ridzuan
Nur Diyan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Sains dalam bidang berkaitan daripada UTP.
Kepakaran beliau tertumpu pada katalisis heterogen, penghasilan nano-katalis dan penggunaan graphene dalam pelbagai aplikasi tenaga serta alam sekitar.
Antara tumpuan penyelidikannya termasuklah teknik pengayaan karbon dioksida, yang berpotensi besar dalam menyumbang kepada penyelesaian perubahan iklim global.
Sebagai penyelidik aktif, Nur Diyan memainkan peranan penting dalam beberapa projek penyelidikan berimpak tinggi.
Antaranya termasuk projek sintesis pemangkin nikel hidrofobik yang dilapisi grafena dan polytetrafluoroethylene (PTFE) untuk memperkaya hidrogen isotop melalui proses penukaran katalitik fasa-cecair.
Teknologi itu digunakan dalam penghasilan air berat, komponen penting dalam pelbagai aplikasi saintifik dan industri.
Melalui sumbangannya dalam penyelidikan tenaga lestari, Nur Diyan dilihat sebagai antara bakat muda menyerlah dalam bidang kimia aplikasi di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram