
MENUA bersama sehingga hujung nyawa. Itulah harapan yang pastinya tersemat dalam hati setiap pasangan berumah tangga.
Namun, realiti tidak selalunya seindah harapan.
Melihat Data Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) sebelum ini, kadar perceraian di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada 43,936 kes pada 2021 kepada 62,890 kes pada 2022.
BACA LAGI: Suami tak perlu beri solusi, cukup jadi pendengar isteri meluah, kunci rumah tangga bahagia
BACA LAGI: Ibu hamil jangan berpanas bawah matahari terik, kesan gelombang haba berisiko kelahiran pramatang
Pun begitu, perceraian bukanlah sekadar perpisahan antara dua insan, malah meliputi seluruh ahli keluarga terutama anak.
Persoalan siapakah yang lebih layak menjaga anak sering menjadi perdebatan panjang dalam kalangan masyarakat.
Justeru, ibu bapa yang sedang melalui proses perceraian perlu meneliti dahulu undang-undang ditetapkan sebelum membuat keputusan untuk mendapatkan hak jagaan anak.
Berdasarkan perkongsian pemerhati undang-undang sivil dan syariah, Syafiq Yuhaizad, berdasarkan hukum Islam, penjagaan anak atau hadhanah bukan hak mutlak mana-mana pihak, sebaliknya satu amanah yang perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.
Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa ayat 58 mengingatkan, "Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya."
Ia membuktikan bahawa tanggungjawab menjaga anak tidak boleh dipandang ringan atau diperalat sebagai senjata balas dendam antara bekas pasangan.
Ibu diberi keutamaan untuk mendapatkan hak penjagaan hadhanah. — Gambar hiasan
Ibu diberi keutamaan berserta syarat
Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Akta 303, ibu diberikan keutamaan dalam penjagaan anak kecil selepas bercerai selagi mana memenuhi beberapa syarat asas seperti beragama Islam, berakhlak baik, tidak tinggal dengan lelaki ajnabi dan belum berkahwin dengan bukan mahram kepada anak tersebut.
Jika pasangan suami isteri bercerai dan ketika itu anak-anak mereka sama ada lelaki atau perempuan belum mencapai usia mumaiyyiz, ibu lebih berhak menjaganya berbanding orang lain kecuali jika ibu tersebut telah hilang kelayakan atau gugur hak sebagai penjaga.
Menyentuh pula tentang usia mumaiyyiz, Akta 303 turut memberi ruang kepada anak sudah mencapai umur itu untuk memilih penjaganya.
Menurut mazhab Syafie, usia mumayyiz adalah 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan.
Manakala, Seksyen 84(2) menyatakan bahawa mahkamah akan mempertimbangkan kehendak anak, namun keputusan akhir tetap berdasarkan maslahah (kepentingan terbaik anak).
Nafkah tetap menjadi kewajipan bapa walaupun hak jagaan diberikan kepada ibu. — Gambar hiasan
Siapa wajib tanggung nafkah anak?
Kata Syafiq, walaupun hak jagaan anak diberikan kepada ibu, nafkah tetap wajib disediakan oleh bapa.
Ia termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal, perubatan dan pendidikan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 72, Akta 303.
Firman ALLAH dalam Surah Al-Baqarah ayat 233 juga menegaskan, "Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada mereka dengan cara yang makruf."
Adakah hadhanah boleh dikongsi?
Undang-undang juga tidak menafikan hak bekas pasangan untuk berhubung dengan anak.
Sekiranya kedua-dua pihak bersetuju dan tidak memudaratkan anak, mahkamah kini menerima jagaan bergilir (alternate custody) dan jagaan bersama (shared atau joint custody).
Ia dibenarkan dengan tiga syarat utama iaitu anak tidak terabai, keperluan anak diutamakan dan saling hormat keputusan mahkamah.
Mahkamah juga boleh mengeluarkan perintah hak lawatan sama ada secara fizikal, mingguan, cuti sekolah mahupun melalui panggilan video dengan syarat ia tidak menjejaskan kestabilan emosi atau keselamatan anak seperti tertakluk di dalam Seksyen 87.
Tiada kata sepakat antara bekas pasangan boleh memberi tekanan emosi kepada anak. — Gambar hiasan
Jangan jadikan anak sebagai alat balas dendam
Meskipun pahit ditelan, realitinya hari ini ramai anak menjadi mangsa konflik dewasa.
Antaranya adalah seperti bekas isteri halang bekas suami jumpa anak, bekas suami mengugut tidak memberi nafkah sehingga anak jadi mangsa manipulasi.
Disebabkan itu, perceraian seharusnya tidak memadam nilai kasih sayang terhadap anak malah, mengambilnya sebagai tanggungjawab bersama dan bukan medan perebutan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram