[VIDEO] Bangkit lepas koma 5 bulan, pengusaha sambal Dapur Pak Amir mula bermodal pertama RM500 gigih ubah nasib keluarga


  • Bisnes
  • Selasa, 17 Jun 2025

Amir (kanan) bangkit menjalankan perniagaan sambalnya selepas koma selama lima bulan.

DARI Jepun ke Malaysia, perjalanan Mohd Amir Mohsin Mohd Bahrudin bukanlah semudah disangkanya. 

Meskipun terlihat normal, usahawan berstatus orang kelainan upaya (OKU) berusia 36 tahun itu sebenarnya sedang berjuang melawan sakitnya apabila disahkan mengalami trauma kecederaan otak atau TBI.

Kisahnya bermula apabila Mohd Amir atau lebih senang disapa Amir dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kelantan untuk menjenguk isterinya yang sedang berpantang selepas melahirkan anak pertama mereka pada 2018.

BACA LAGI: Nampak mudah tapi mampu bina akhlak besar, ini 3 perkataan penting ibu bapa perlu ajar anak sejak kecil

BACA LAGI: [VIDEO] Anggun berkurung moden pink, majlis pertunangan anak sulung ratu jazz Malaysia serlah konsep Melayu klasik

Isterinya, Siti Hawa Mohd Nasir (tengah) yang sabar menjaga Amir (kanan) sepanjang tempoh penyembuhan bersama dua anaknya.

Siapa sangka hajatnya untuk melihat cahaya mata pertama yang baru berusia 12 hari bertukar tragedi apabila Amir terlibat dalam satu kemalangan ngeri.

Katanya, kemalangan itu juga mengubah kehidupannya dan keluarga 100 peratus.

"Lepas kemalangan saya koma dan waktu itu doktor jangka akan koma dua tahun dan lumpuh seumur hidup.

"Tetapi kuasa ALLAH, saya koma selama lima bulan sahaja dan dalam tempoh dua bulan saya sudah boleh berjalan," katanya kepada Majoriti.

Kata Amir, kejadian itu menjadi titik permulaan yang berat baginya untuk bangkit semula dan meneruskan kehidupan. 

Latihan fisioterapi yang perlu dilakukan Amir bagi memulihkan kembali fizikalnya.

Namun, dengan sokongan orang ramai dan ahli keluarga, Amir yang dahulunya pernah bekerja sebagai jurutera di Jepun berjaya bangun semula dan mula mencari sumber pendapatan baharu di Puncak Alam, Selangor.

Perlahan-lahan menjalankan perniagaan nasi lemak di tepi jalan, Amir kini berjaya membina perniagaannya dengan menjual beberapa jenis sambal sedia dimakan di bawah jenama Dapur Pak Amir.

Katanya, walaupun belum pulih sepenuhnya, dia terpaksa bekerja mencari rezeki demi menyara isteri dan anak-anaknya.

"Saya dah berhenti kerja lepas kemalangan dan tiada duit nak bayar sewa rumah di Puncak Alam. 

"Jadi, saya ambil keputusan untuk buka perniagaan ini. Daripada jual nasi lemak sampai sambal sedia dimakan sekarang.

"Saya belajar masak pun daripada video YouTube dan Alhamdulillah ia sedap dan disukai ramai," jelasnya.

Dengan berbekal modal permulaannya sebanyak RM500, Amir mampu menghasilkan 60 pek pertama sambal sedia dimakan (ready to eat) buatannya.

Katanya, keuntungan yang boleh diperolehnya selepas menjual sambal tersebut adalah sekitar RM500 sehingga RM1,000 sehari.

Amir menjalankan perniagaan Nasi Lemak OKU di tepi jalan kawasan Alam Suria, Puncak Alam, Selangor.

Jelasnya, produk sambalnya juga mendapat permintaan dari luar negara iaitu Singapura dan Brunei.

Namun, ia juga tidak mudah bagi Amir untuk mengekalkan momentum perniagaannya.

Disebabkan kesihatannya yang masih belum stabil kesan daripada kemalangan, tenaganya tidak lagi sama seperti dahulu.

"Selain cabaran daripada segi modal pusingan yang kecil, saya juga cepat penat.

"Kalau memasak saya tak boleh buat kerja lebih lama lebih-lebih lagi waktu tengah hari. Syukur sekarang ada empat orang pekerja yang boleh tolong saya masak," katanya.

Amir (dua dari kanan, hadapan) juga penerima anugerah Liga Usahawan OKU Selangor Edisi Keempat oleh Komuniti Belia Selangor (SAY) di bawah naungan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin (dua dari kiri, hadapan).

Amir pada masa sama tidak menafikan keadaannya selepas kemalangan turut memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya.

Bapa kepada dua orang anak itu juga pernah melalui fasa kemurungan sebelum bertekad mendapatkan rawatan.

Dalam tempoh tersebut, Amir juga pernah terlibat sebagai atlet paralimpik kategori renang yang disokong Majlis Sukan Negara (MSN).

Namun, keterbatasan fizikalnya membuatkan Amir akhirnya memilih untuk memberi fokus sepenuhnya kepada perniagaan sambalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram