
SATU laporan kajian antarabangsa mengeluarkan amaran gelombang haba yang didorong oleh pemanasan global mampu meningkatkan risiko atau komplikasi kepada wanita hamil di seluruh dunia.
Pendedahan kepada suhu melampau sepanjang tempoh kehamilan juga dilihat dapat meningkatkan risiko kelahiran pramatang, kecenderungan bayi meninggal dunia, kecacatan dan penyakit seperti diabetes yang tinggi.
Menurut laporan terbaharu daripada kumpulan penyelidikan Climate Central yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), perubahan iklim sekurang-kurangnya menambah bilangan tahunan purata hari berisiko wanita hamil dalam tempoh lima tahun lalu di 222 daripada 247 buah negara.
Cuaca panas melampau mampu meningkatkan risiko kehamilan dan kelahiran. — Gambar hiasan/Agensi
Ia juga banyak berlaku di beberapa negara membangun yang mempunyai had penjagaan akses kesihatan seperti Caribbean, Amerika Tengah dan Selatan, Kepulauan Pasifik, Asia Tenggara dan Sahara Afrika.
Para penyelidik juga mendapati bahawa cuaca panas melampau kini semakin ketara di seluruh dunia.
Namun, kajian itu tidak diteliti secara langsung bagaimana wanita hamil benar-benar terjejas oleh keadaan tersebut di sesebuah negara.
Penyelidik Kesihatan Ibu dan Haba Melampau di London School of Hygiene and Tropical Medicine, Ana Bonell berkata, kajian itu memberi bukti jelas tentang peningkatan risiko pendedahan kepada haba ekstrem.
Beliau berkata, penemuan tersebut juga boleh terpakai kepada golongan warga emas yang turut tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi ketika cuaca panas melampau.
Walaupun semakin banyak penyelidikan dilakukan untuk mengenal pasti impak haba melampau terhadap kesihatan manusia, banyak aspek fisiologi yang menyebabkan keadaan itu masih belum difahami sepenuhnya.
Satu kajian lain yang diterbitkan dalam Nature Medicine pada 2024 pula menganggarkan bahawa gelombang haba boleh meningkatkan kemungkinan komplikasi kehamilan sebanyak 1.25 kali ganda.
Katanya, di samping usaha global membendung perubahan iklim kebanyakannya berpunca daripada pembakaran bahan api fosil oleh manusia, dasar tempatan yang menyokong komuniti juga penting untuk mengurangkan impak haba melampau.
Antara langkah yang disarankan adalah menghijaukan kawasan kejiranan, mengurangkan pencemaran, mewujudkan kawasan sejuk serta memberi kesedaran kepada penduduk terutama wanita hamil tentang risiko kesihatan akibat gelombang haba. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram