
SOPAN dan lemah lembut gayanya, anak sulung kepada ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid selamat mengikat tali pertunangan di Ara Damansara, Selangor pada Ahad.
Teruja menyambut ahli keluarga baharu, Sheila berkongsi sekitar majlis pertunangan anaknya, Wan Nur Khaleda Roslan, 34, atau lebih dikenali sebagai Kayda Aziz dengan jejaka pilihan hatinya, Syafiq Othman.
"Dia sudah bertunang. Syukur Alhamdulillah, semoga ALLAH permudahkan segala urusan," tulisnya.
BACA LAGI: Tiada dalil spesifik siapa wajib masak, tak perlu banding tanggungjawab suami isteri — Firdaus Wong
Menerusi video dikongsikannya di Instagram baru-baru ini, Kayda dan Sheila kelihatan sopan dan anggung apabila sedondon menggayakan busana kurung moden merah jambu lembut.
Busana Kayda juga dilengkapi dengan selendang renda warna yang sama dan ditambah dengan jambangan dedaun hijau.
Meskipun majlis dilakukan di dewan acara, namun ia masih menunjukkan konsep yang ringkas dan klasik dengan elemen tradisional Melayu.
Jika dapat dilihat, majlis tersebut juga hanya menggunakan kerusi kayu yang ditambah dengan hiasan bunga ringkas di belakangnya untuk dijadikan sebagai pelamin.
Kesemua barang hantaran Kayda penuh dengan elemen estetika dan serat dengan budaya Melayu.
Antaranya adalah beberapa bekas daun rampai, sirih, buah-buahan, kain sutera dan kek merah jambu yang dihias dengan hanya dua kuntum bunga serta tulisan nama pasangan itu.
Selain konsep majlis yang klasik, solekan Kayda turut mencuri perhatian ramai kerana tampil dengan gaya lembut tetapi masih mengekalkan seri di wajahnya.
Sementara itu, majlis juga dimeriahkan dengan kehadiran sanak saudara termasuk rakan selebriti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram