[VIDEO] Mangsa tragedi bas UPSI masih trauma, emosi belum stabil, sup tulang air tangan bapa jadi 'penawar'


  • Bonda
  • Isnin, 16 Jun 2025

Aleeya Maisarah (kanan) mengalami kesan trauma akibat insiden kemalangan yang berlaku baru-baru ini.

NEGARA digemparkan dengan tragedi nahas membabitkan 15 pelajar yang maut dalam kemalangan bas di Jalan Jeli-Gerik, berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak minggu lalu.

Membabitkan pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), insiden berlaku sekitar pukul 1 pagi itu turut mengakibatkan empat penumpang kereta MPV tercedera parah.

Salah seorang mangsa terselamat, Aleeya Maisarah Azizzani, 21, kini diberikan rawatan dan difahamkan masih trauma atas insiden berlaku.

BACA LAGI: [VIDEO] Rizman pasang impian ingin anak-anak sambung legasi jenama Rizman Ruzaini

BACA LAGI: Tanggungjawab bapa dalam Islam, cabaran, peranan tak berubah walau era moden

Mengalami kecederaan pada kepala, kaki terseliuh dan sakit belakang, Aleeya yang duduk di bahagian kanan bas menjelaskan dirinya tidak berdaya membantu rakan-rakan menjerit meminta pertolongan ketika kejadian.

Seramai 15 pelajar UPSI dilaporkan terkorban dalam insiden kemalangan yang berlaku di Jalan Jeli-Gerik, berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Sehingga kini, emosi pelajar jurusan Bahasa Arab itu masih belum stabil dan difahamkan kurang selera untuk makan atas faktor kesihatan dan tragedi yang menimpa dirinya.

Berperanan sebagai tulang belakang dan dorongan buat pelajar tersebut, bapanya antara yang setia menjaganya walaupun masih belum pulih sepenuhnya.

Jelas individu dikenali sebagai @abe.chik72 di TikTok itu, selera makan anaknya semakin berkurangan dan hanya air tangannya sahaja mampu merawat emosi.

Sanggup berkorban masa dan tenaga demi anak dikasihi, hidangan sup tulang daging menjadi 'penawar' kepada segala duka dihadapai Aleeya.

"Pengorbanan seorang ayah untuk anak yang masih trauma kemalangan bas UPSI, selera merudum dan minta makanan dari air tangan ayah, sup tulang daging korban buat anakda tersayang," kongsinya di laman TikTok.

Menganggap air tangannya sebagai satu anugerah berharga buat seisi keluarganya, sudah menjadi kelaziman anak-anaknya meminta hidangan tersebut setiap kali cuti semester.

"Alhamdulillah sudah menjadi kebiasaan selalu anak-anak bila balik dari kampus memang mereka akan minta masak macam-macam, rasa berharga sangat air tangan ni untuk anak-anak," ujarnya di ruangan komen.

Terdahulu, sebuah bas persiaran yang disewa khas membawa 44 penumpang termasuk 42 pelajar UPSI dan dua kru telah terbalik selepas bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di lokasi kejadian.

Seramai 13 mangsa disahkan maut di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Gerik, menjadikan jumlah korban seramai 15 orang.

Manakala, 31 mangsa dari bas mengalami kecederaan, empat lagi penumpang dari kereta MPV turut cedera, termasuk seorang yang patah tangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram