
MASYUR di pentas rekaan dan fesyen antarabangsa, jenama Rizman Ruzaini (RR) memiliki aura tersendiri yang mampu mewujudkan pesona menawan pada si pemakai busana mewah itu.
Menjadi pilihan masyarakat tempatan khususnya golongan selebriti dan kenamaan, gandingan duo pereka tersohor tanah air itu memberi impak besar terhadap dunia peragaan tanah air.
Jika dilihat dari empayar yang dibina, sudah cukup membuktikan betapa jenama RR kini kian diminati di persada dunia.
BACA LAGI: Bantu bayi tidur berkualiti, Intan Najuwa antara amal kaedah 'sleep training' buat Imane Lunara
BACA LAGI: Tanggungjawab bapa dalam Islam, cabaran, peranan tak berubah walau era moden
Namun, menjadi persoalannya adakah legasi jenama dibina mampu diwarisi dan diteruskan oleh generasi baharu kelak?
Rizman Nordin bersama anak sulungnya, Rizqaa dan anak Wan Ruzaini, Rahil (kiri). - Instagram/@rizman.n
Yakin hasil titik peluh diusahakan tidak akan disia-siakan, pengasas bersama jenama itu, Rizman Nordin memasang impian untuk melihat anak-anaknya meneruskan kejayaan RR hingga ke peringkat lebih tinggi.
Jelas bapa kepada dua cahaya mata terbabit, dia walau bagaimanapun enggan menetapkan sebarang syarat terhadap minat diceburi anaknya, namun sentiasa berharap agar ia dapat menyumbang bakti kepada empayar syarikat dibina sejak bertahun itu.
"Bukan anak-anak saya sahaja, sebenarnya dengan anak Ruzaini, Rahil pun sekali bakal menyambung legasi Rizman Ruzaini, insya-ALLAH. Kami memang letakkan nama sendiri untuk sebuah jenama yang memang kita nak sambungkan legasinya.
"Dan insya-ALLAH, itulah yang akan berlaku sebab mereka kecil tapi nampak gaya mereka akan ikutlah jejak langkah ayah mereka, nampak gaya macam itulah.
"Rizman Ruzaini mempunyai empayar fesyen, tapi tak perlu minat fesyen, kalau ada minat kewangan, minat pemasaran, semua boleh yang penting berada dalam legasi yang kami cipta," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Rizman turut berkongsi perkembangan anak sulungnya, Rizqaa yang kini kian menunjukkan minat terhadap dunia fesyen.
Biarpun baru berusia lima tahun, si comel itu difahamkan semakin bijak dalam membuat keputusan terutamanya hal berkaitan pakaian dan aksesori rambut.
"Rizqaa tu memang dia akan pilih barang-barang dia sendiri, dia tahu fesyen mungkin daripada kecil lagi kita dah latih kalau nak pakai baju, kena warna sama dengan kasut dan sebagainya.
"Memang kalau kata apa yang Nuridah (isteri) pakai, memang dia nak sama sekarang ni lagi lah, kena buat tiga-tiga sama, semua kena ikut baru puas hati semua orang.
"Di sekolah memang orang panggil dia doll sebab dia memang suka bersiap, Rizqaa ni memang very particular about her look, dia akan tentukan rambut macam mana five years old tau, nak dua ikat, satu ikat, ikat kat sini, ini ikat kat sini and then what colour of the hair clip," ujarnya.
Tambahnya, minat dan kecenderungan Rizqaa dilihat mirip ibunya yang sangat terperinci dalam bab fesyen dan pakaian.
Bahkan, tempoh bersiap lama juga menjadi petunjuk jelas bahawa puteri sulungnya itu sedikit sebanyak mengikut jejak langkah isterinya yang gemar 'berhias' ketika bersiar-siar seisi keluarga.
Tidak ketinggalan menyampaikan ucapan istimewa sempena sambutan Hari Bapa yang bakal tiba tidak lama lagi, Rizman berharap agar seluruh insan bergelar ayah di luar sana terus berusaha yang terbaik demi keluarga.
"Saya ingin ucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa di luar sana, kita mempunyai tanggungjawab yang sangat besar iaitu untuk menjadi protector to our beloved kids, so just be the best, be the best example for them," ujarnya.
Sekadar info, Rizman Nordin pada Ramadan tahun lalu dikurniakan seorang lagi cahaya mata perempuan dinamakan Rainaa.
Menganggap ia sebagai pemberian rahmat di bulan suci, pereka fesyen itu menitip doa agar perjalanan zuriat keduanya itu dipermudahkan, menjadi anak solehah dan baik budi pekertinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram