
KELAHIRAN bayi dengan masalah sumbing pada bibir atau lelangit bukan sahaja memberi cabaran dari segi penampilan, tetapi turut melibatkan pelbagai risiko kesihatan.
Mula terbentuk sejak dari dalam kandungan, sumbing bibir (cleft lip) dan sumbing lelangit (cleft palate) berlaku apabila struktur mulut dan bibir bayi tidak bercantum sepenuhnya.
Pempengaruh dan pengasas komuniti Old Money, Andika Putera atau nama penuhnya Muhamad Andika Putera Salleh antara individu terkesan dengan hal itu apabila anak perempuannya dilahirkan sumbing.
BACA LAGI: Tanggungjawab bapa dalam Islam, cabaran, peranan tak berubah walau era moden
Berdepan cabaran dalam membesarkan anaknya Alisha Puteri, pelbagai dugaan terpaksa diharungi terutamanya dari segi kos rawatan, kecaman dan persepsi masyarakat.
"Dulu, anak saya lahir sumbing. Ramai yang tidak tahu pada awal kelahirannya hari pertama saya tengok muka dia saya senyum tetapi dalam hati saya menangis, saya tahu jalan kami takkan mudah dan Alisha akan banyak lalui jalan-jalan hebat.
"Saya dan mak kandungnya harungi semuanya pada waktu dulu. Mulut orang, kos pembedahan, ujian emosi, ujian kewangan.
"Tangan dia perlu rawatan, mulut dia perlu pembedahan, tapi dia tetap senyum dan disebabkan senyuman itulah saya tak pernah izinkan diri saya untuk putus asa," kata jejaka berusia 28 tahun itu menerusi hantaran di TikTok.
Simptom awal perlu dikenal pasti
Bayi yang dilahirkan dengan sumbing biasanya dapat dikenal pasti melalui:
Sumbing bibir: Pembukaan atau rekahan pada bahagian atas bibir yang mungkin melibatkan satu atau kedua-dua belah bibir.
Sumbing lelangit: Rekahan pada bahagian dalam lelangit mulut yang kadangkala tidak kelihatan jelas dan hanya dapat dikesan apabila bayi mengalami kesukaran menyusu atau suara tidak normal.
Risiko kesihatan
Bayi dengan keadaan sumbing berisiko mengalami pelbagai komplikasi kesihatan antaranya:
Sukar menyusu: Lelangit yang terbuka menyebabkan bayi sukar menghisap susu dengan betul dan berisiko kekurangan zat makanan.
Jangkitan telinga berulang: Sumbing lelangit boleh menyebabkan cecair mudah berkumpul di telinga serta meningkatkan risiko jangkitan dan kehilangan pendengaran.
Masalah pertuturan: Bayi mungkin mengalami kesukaran bercakap dengan jelas kerana struktur mulut yang tidak normal.
Masalah gigi: Pertumbuhan gigi mungkin terganggu, terutama jika sumbing kerana melibatkan bahagian gusi.
Anugerah terindah hari bapa
Akur dengan segala ujian dihadapi, Andika walau bagaimanapun tidak pernah mengeluh apatah lagi berasa malu atas kekurangan anaknya.
Menganggap Alisha sebagai pembawa rezeki dan menjadikan kehidupannya lebih bermakna, penceramah motivasi itu mendedikasikan anaknya sebagai hadiah paling bernilai sempena Hari Bapa.
"Saya kerja siang dan malam, kadang tidur pun fikir macam mana masa depan dia. Tapi saya tahu, saya ayahtanggungjawab saya bukan untuk meminta diringankan ujian, tetapi meminta untuk jadi kuat.
"Sekarang anak saya dan besar, ceria, cantik dan bijak, setiap kali dia peluk saya, saya tahu tuhan pinjamkan saya kekuatan paling besar, seorang anak yang ajar saya erti sebenar hidup," tambahnya.
Justeru, kelahiran bayi sumbing bukan penamat kepada harapan ibu bapa, sebaliknya satu permulaan untuk memberikan perhatian dan kasih sayang yang lebih agar anak-anak ini dapat membesar dengan sihat dan berjaya seperti kanak-kanak lain.
Tidak terkecuali, kesedaran masyarakat juga perlu ditingkatkan bagi mengurangkan stigma negatif terhadap kekurangan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram