
SEDAR ataupun tidak, emosi dan ciri fizikal isteri mula berubah sedikit demi sedikit sebaik memasuki angka usia 40-an.
Ada menganggap ia sebahagian daripada perubahan sikap atau emosi wanita, namun sebenarnya petanda itu merupakan kesan daripada perubahan hormon semula jadi yang berlaku iaitu fasa pra-menopaus.
Menjadi bualan hangat di laman sosial kebelakangan ini, luahan para isteri yang tertekan dengan perubahan emosi dihadapi acap kali dipandang ringan khususnya golongan suami.
BACA LAGI: [VIDEO] Rizman pasang impian ingin anak-anak sambung legasi jenama Rizman Ruzaini
"Abang, saya penat tapi saya tak tahu nak cakap macam mana", "saya rasa saya dah tak macam dulu, "mudah marah, cepat letih, tiba-tiba rasa sedih sangat tanpa sebab".
Demikian antara perkongsian dialog warga maya yang memberi gambaran terhadap isu berbangkit baru-baru ini.
Bukan bertujuan mengada-ngada ataupun manja, sebaliknya situasi itu merupakan cerminan perubahan dalaman sedang dihadapi kebanyakan wanita memasuki usia 40-an.
Pra-menopaus boleh berlaku seawal usia 40-an, menyebabkan hormon wanita turun naik mendadak bagaikan taman permainan roller coaster.
Antara simptom dialami wanita termasuklah:
- Badan panas secara tiba-tiba
- Kesedihan atau kemurungan tanpa sebab
- Lesu sepanjang hari
- Perasaan tidak berguna atau rasa tidak disayangi
Sokongan emosi suami sangat penting
Malangnya, ramai suami tidak menyedari situasi sedemikian bila mana isteri mula bersikap dingin, suami sangka isteri sedang merajuk.
Sedangkan hakikatnya, si isteri sedang melalui satu fasa mencabar yang sangat memerlukan sokongan demi memastikan kesihatan mental berada di tahap normal.
Elakkan daripada menghakimi tanpa soal selidik, suami sewajarnya berada di sisi tanpa sedikit pun perasaan was-was apatah lagi memandang rendah perubahan fizikal si isteri.
- Ambil tahu perubahan hormon wanita
- Tenangkan isteri apabila emosinya terganggu
- Jangan cepat terasa hati jika dimarahi
- Peluk isteri tanpa perlu berkata apa-apa
- Dengar luahan isteri walaupun berulang
- Bantu isteri dalam tugas harian
Ketahuilah bahawa isteri yang sedang bergelut dengan perubahan itu bukan mengharapkan hadiah mahal, tetapi sekadar ingin rasa difahami dan disayangi.
Justeru, fasa pra-menopaus bukanlah satu kelemahan, tetapi sebahagian daripada perjalanan semula jadi pasti dilalui seorang wanita.
Sepanjang tempoh tersebut, kasih sayang dan sokongan suami bukan sahaja menjadi kekuatan terbesar isteri, malah berupaya mengekalkan kemesraan hubungan walau beribu tahun lamanya usia perkahwinan dibina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram