[VIDEO] Penampilan Maia Estianty hadir majlis perkahwinan putera sulung jadi tumpuan, kekal cantik, bergaya pada usia 49 tahun


  • Gaya
  • Isnin, 16 Jun 2025

Penampilan Maia sepanjang majlis perkahwinan anaknya menjadi inspirasi kepada ramai wanita.

BIARPUN sudah mencecah usia 49 tahun, penyanyi dan produser terkenal Indonesia, Maia Estianty, terus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk tampil mempesona.

Penampilan beliau sepanjang rangkaian majlis perkahwinan putera sulungnya, Al Ghazali, menjadi bualan hangat warga maya dan tetamu yang hadir.

Majlis perkahwinan Al dan pasangannya, Alyssa Daguise bermula dengan acara siraman dan pengajian pada Ahad lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak kerap mengadu sakit kepala? Awas! Mungkin ia petanda migrain

BACA LAGI: [VIDEO] Anak kerap mengadu sakit kepala? Awas! Mungkin ia petanda migrain

Untuk acara penuh adat itu, Maia memilih khidmat jurusolek terkenal, Mercia Dewi, bagi menghasilkan sentuhan mekap yang elegan dan natural.

Menerusi hantaran di Instagram, Mercia mengakui bukan mudah menyempurnakan solekan untuk ibu kepada pengantin lelaki itu, apatah lagi apabila perlu mengekalkan gaya serupa seperti yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Namun, beliau mengakui hasil solekan kali ini kelihatan lebih menyerlah, berkat keadaan kulit Maia yang semakin berseri dan licin.

Busana putih yang digayakan Maia ketika majlis pengajian itu nyata menyerlahkan keanggunan dan ketenangan yang sinonim dengan figura penyanyi dan usahawan berjaya itu.

Rekaan busana tersebut dihasilkan oleh pereka fesyen dikenali sebagai Olive Olivy, yang telah mereka pakaian buat Maia selama lebih 20 tahun.

Pada hari akad nikah yang berlangsung pada Isnin pula, Maia tampil anggun dalam kebaya berona hijau sage, sedondon dengan bekas suaminya, Ahmad Dhani, yang mengenakan busana tradisional Jawa, beskap.

Kedua-duanya mendampingi Al Ghazali ke meja akad dalam sebuah majlis yang diadakan di hotel mewah Jakarta, disaksikan tetamu terhormat.

Selain menjadi tumpuan dek peranannya sebagai ibu pengantin, wajah awet muda Maia turut menarik perhatian ramai.

Rata-rata memuji keadaan kulitnya yang semakin cerah selain aura menawan juga turut terserlah.

Ketika berkongsi mengenai rutin kecantikannya, Maia sebelum ini mengakui, dirinya lebih memilih rawatan semula jadi dan solekan yang tepat dengan bentuk wajah.

Malah, netizen turut mengaitkan kecantikan Maia dengan kebahagiaan rumah tangganya bersama suami tercinta, Irwan Mussry.

Pasangan itu sering berkongsi momen manis bersama keluarga termasuk percutian romantik, yang menurut ramai, menjadi antara 'rahsia' kepada wajah ceria dan tenang Maia hari ini.

Tidak hairanlah, penampilan Maia sepanjang majlis perkahwinan anaknya menjadi inspirasi kepada ramai wanita. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram