[VIDEO] Anak kerap mengadu sakit kepala? Awas! Mungkin ia petanda migrain


  • Sihat
  • Sabtu, 07 Jun 2025

Meskipun sering dikaitkan dengan orang dewasa, migrain juga boleh menjejaskan kanak-kanak. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

MIGRAIN adalah sejenis gangguan neurologi yang menyebabkan sakit kepala berdenyut atau berdenyut di satu bahagian kepala.

Berbeza dengan sakit kepala biasa, migrain selalunya hadir bersama simptom lain seperti loya, muntah, sensitiviti terhadap cahaya dan bunyi, serta gangguan penglihatan.

Serangan migrain boleh berlaku dalam tempoh beberapa jam hingga beberapa hari, dan dalam kes tertentu, ia cukup teruk sehingga mengganggu aktiviti harian.

BACA LAGI: Ramai tak sedar, wanita gemuk lebih sukar lahirkan anak secara normal, legasi berisiko ada masalah jantung dan hati — Pakar

BACA LAGI: Dari hujah mahkamah ke doa liang lahad, Siti Rasidah teruskan legasi ibu galas tugas uruskan jenazah

Meskipun sering dikaitkan dengan orang dewasa, migrain juga boleh menjejaskan kanak-kanak.

Apa yang membezakan migrain dalam kalangan kanak-kanak ialah simptomnya yang tidak semestinya menyerupai aduan biasa orang dewasa.

Kanak-kanak mungkin mengadu sakit perut, rasa pening, atau menjadi sangat letih dan mudah meragam tanpa sebab yang jelas.

Pakar Pediatrik dan Neurologi, Dr Poorani Anandakrishnan — Gambar/ Pantai Hospital

Oleh kerana gejalanya sukar dikenalpasti pada peringkat awal, ramai ibu bapa menganggap ia hanyalah kelakuan manja atau keletihan biasa sedangkan ia sebenarnya boleh menjadi petanda awal serangan migrain.

Menurut Pakar Pediatrik dan Neurologi, Dr Poorani Anandakrishnan, migrain dalam kalangan kanak-kanak sering disalah anggap kerana bentuknya yang berbeza dan kurang difahami.

Beliau dalam laman TikTok peribadiya menjelaskan bahawa simptom lazim migrain termasuk sakit kepala di sebelah kepala, gangguan penglihatan seperti kelipan cahaya, serta rasa loya atau muntah yang berlaku secara berulang.

"Terdapat juga kanak-kanak yang menjadi sangat sensitif terhadap cahaya dan bunyi, malah mendengar desingan di telinga atau mengalami penglihatan yang kabur secara tiba-tiba," katanya.

 

 

 

Tambah beliau lagi, lebih membimbangkan, migrain boleh dicetuskan oleh faktor harian seperti tidur yang tidak mencukupi, cuaca panas, serta pemakanan tertentu termasuk keju, coklat, kopi, teh, dan daging salai.

"Malah, tekanan persekitaran yang tidak disedari juga boleh menjadi pencetus utama.

"Walaupun ia kelihatan seperti masalah ringan, migrain yang tidak dirawat boleh menjejaskan prestasi pembelajaran dan emosi kanak-kanak," ujarnya.

Dr Poorani turut menekankan bahawa migrain lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak perempuan, khususnya ketika menghampiri usia akil baligh.

"Faktor genetik juga memainkan peranan besar sekiranya ibu atau bapa mempunyai sejarah migrain, anak turut berisiko mengalaminya.

"Justeru, ibu bapa digesa agar lebih peka terhadap simptom-simptom yang dialami anak dan tidak sekadar menganggap ia sebagai masalah biasa.

"Dalam situasi tertentu, serangan migrain boleh menjadi begitu teruk hingga menyebabkan anak terbangun dari tidur kerana kesakitan," jelasnya.

Migrain lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak perempuan, khususnya ketika menghampiri usia akil baligh. — Gambar Hiasan/Freepik

Ujar beliau lagi, sekiranya keadaan itu berulang atau semakin kerap, pemeriksaan segera perlu dilakukan untuk mendapatkan diagnosis tepat dan rawatan yang sesuai.

Rawatan awal boleh membantu mengurangkan kekerapan dan keterukan serangan serta memastikan anak membesar dengan sihat tanpa gangguan kesihatan yang berpanjangan.

Migrain mungkin nampak seperti sakit kepala biasa pada zahirnya, tetapi bagi si kecil yang mengalaminya, ia adalah penderitaan senyap yang sukar dijelaskan.

Melalui keprihatinan ibu bapa dan pemahaman yang betul, masalah ini boleh ditangani dari awal demi kesejahteraan fizikal dan emosi anak-anak yang sedang membesar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram