
PELAKON dan selebriti popular Sari Yanti atau nama lengkapnya Sari Yanti Mohamad Nazari berduka cita apabila sekali lagi diuji dengan kehamilan luar rahim ataupun ektopik.
Isteri kepada pelawak Jep Sepahtu itu berkongsi hal tersebut menerusi hantaran di laman Instagram peribadi pada Jumaat yang kini difahamkan sedang menjalani rawatan di hospital.
Memohon doa orang ramai agar dipermudahkan segala urusannya, pelakon filem Impak Maksima (2007) tersebut tabah menghadapi segala dugaan walaupun didatangi ujian seberat itu.
BACA LAGI: 'Jaga hubungan adik-beradik', hantaran FB guru ditikam anak bagai petanda awal kes tragis di Melaka
"Pembedahan kehamilan ektopik saya buat kali yang kedua.
"Alhamdulillah ala kulli hal. Tolong doakan semuanya berjalan lancar ya dan semoga Sari Yanti cepat sembuh. Terima kasih semua," titip wanita berusia 40 tahun itu.
Merupakan kali kedua berdepan kehamilan luar rahim, Sari Yanti sebelum ini difahamkan terpaksa menjalani pembedahan membuang salah satu tiub fallopio pada awal perkahwinannya.
Tindakan itu diambil selepas tiub tersebut pecah akibat kandungan yang semakin membesar.
Selain itu, Sari Yanti juga pernah keguguran sebanyak dua kali pada perkahwinan keduanya bersama Jep namun, dikurniakan rezeki cahaya mata selang setahun kemudian.
Apa itu hamil ektopik
Hamil ektopik ialah mengandung luar rahim apabila telur yang disenyawakan melekat dan membesar di kawasan tidak sepatutnya.
Kebiasaannya ia berada dalam tiub fallopio yang merupakan saluran yang menghubungkan ovari dan rahim.
Boleh menyebabkan pendarahan dalaman yang serius, perkara tersebut berisiko tinggi untuk mengancam nyawa ibu jika tidak dirawat segera.
Tanda-tanda hamil ektopik
Tanda awal kehamilan ektopik mungkin menyerupai kehamilan biasa, tetapi ia boleh disertai simptom berikut:
- Sakit tajam atau menusuk di bahagian bawah perut atau pelvis.
- Pendarahan faraj yang luar biasa.
- Pening atau pitam.
- Sakit bahu dan berlaku pendarahan dalam perut yang mengganggu saraf.
- Tekanan darah rendah.
Terdahulu, Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin berkongsi bahawa dua anaknya, Khidir dan Abu Bakar berdepan gangguan spektrum autisme (ASD) atau autisme.
Menyifatkan ia sebagai pemberian istimewa dari-NYA , penyampai radio itu berjanji untuk menjaga amanahnya dengan penuh rasa syukur di samping tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada lima cahaya mata.
Sekadar info, Jep, 40, Sari Yanti, 41, melangsungkan perkahwinan mereka pada 25 Februari 2017.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Dariya Inara, 7, Muhammad Khidir, 5, dan Abu Bakr, 4.
Sari Yanti juga memiliki dua cahaya mata daripada perkahwinan pertamanya iaitu Barr Al-Aliy, 15, dan Baasit Al-Haq, 14. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram