
LATIHAN tidur bayi ataupun 'sleep training' semakin mendapat perhatian dalam kalangan ibu bapa moden yang mencari kaedah terbaik dalam memastikan si kecil mendapat tidur berkualiti.
Amalan ini bukan sahaja memberi manfaat positif kepada bayi, malah membawa kelegaan kepada ibu bapa yang selama ini bergelut dengan masalah tidur malam anak.
Kaedah itu paling sesuai dimulakan apabila bayi berusia antara empat hingga enam bulan apabila corak tidur harian mereka sudah mula berubah.
BACA LAGI: Mengandung luar rahim kali ke-2, Sari Yanti tabah, rayu doa pembedahan jalan lancar
Menurut kajian antarabangsa, antara manfaat utama 'sleep training' adalah membantu bayi tidur lebih lama dan lena tanpa sebarang gangguan.
Malah, bayi juga akan lebih cepat belajar menenangkan diri dan tidak terlalu bergantung kepada teknik gendongan atau penyusuan setiap kali terjaga.
Beberapa kaedah seperti cry-it-out, Ferber method, pick-up-put-down, chair method dan bedtime fading menjadi pilihan utama bergantung kepada keselesaan dan kesesuaian keluarga.
Cry-It-Out
Kaedah Cry-It-Out atau lebih dikenali sebagai CIO menjadi antara pendekatan terbaik ibu bapa dalam melatih tidur bayi.
Cry-It-Out merujuk kepada kaedah ibu bapa membiarkan bayi menangis seketika tanpa didukung atau ditenangkan secara fizikal, dengan harapan bayi akan belajar menenangkan diri dan kembali tidur secara sendiri.
Walaupun kedengaran ekstrem, pakar menyatakan bahawa kaedah ini sebenarnya mempunyai asas yang kukuh jika dilaksanakan dengan betul dan penuh empati.
Kaedah Ferber
Ferber merupakan satu pendekatan 'sleep training' yang lebih terkawal dan berperingkat berbanding kaedah Cry-It-Out.
Juga dikenali sebagai graduated extinction, bayi akan dibiarkan menangis untuk tempoh tertentu sebelum ditenangkan ibu bapa tanpa terus mengangkat atau mendukung.
Namun, kaedah ini kurang sesuai jika bayi sedang sakit, mengalami gangguan tumbesaran atau berada dalam fasa perubahan besar seperti peralihan bulan yang memerlukan tumpuan penuh daripada ibu bapa.
Chair Method
Kaedah ini membolehkan ibu bapa terus berada di sisi anak semasa proses latihan tidur berlangsung tanpa meninggalkan mereka sepenuhnya atau membiarkan tangisan berlarutan.
Dikenali juga sebagai 'Camping Out', kaedah ini melibatkan ibu bapa duduk di atas kerusi berhampiran katil atau buaian bayi, tanpa mengangkat atau memberi rangsangan berlebihan.
Setiap malam, kedudukan kerusi akan dijarakkan secara berperingkat, sehingga akhirnya ibu bapa tidak lagi berada di dalam bilik semasa waktu tidur.
Namun, kaedah ini memerlukan masa dan kesabaran yang lebih panjang, berbanding pendekatan sleep training lain dan boleh mengambil masa antara satu hingga tiga minggu untuk melihat hasil yang konsisten.
Pick-Up, Put-Down
Bagi ibu bapa yang tidak sanggup membiarkan bayi menangis sendirian, kaedah Pick-Up, Put-Down (PUPD) menjadi pilihan utama.
Teknik ini menggabungkan elemen fizikal dan latihan kendiri, menjadikannya antara bentuk 'sleep training' yang paling sesuai untuk bayi sensitif.
Kaedah ini memerlukan si ibu mengangkat bayi menangis dan meletakkannya semula ke katil sebelum dia tertidur sepenuhnya.
Tujuannya adalah untuk membantu bayi belajar tidur sendiri dengan tenang, tanpa bergantung kepada pelukan atau dodoi berpanjangan.
Bedtime Fading
Bagi ibu bapa yang mencari pendekatan 'sleep training' tanpa tangisan berpanjangan, kaedah Bedtime Fading menjadi pilihan yang semakin popular.
Ia membantu bayi membina rutin tidur yang konsisten dengan cara menyesuaikan waktu tidur berdasarkan isyarat semula jadi mengantuk bayi.
Berbeza dengan kaedah Cry-It-Out atau Ferber yang lebih mengetengahkan elemen 'bayi menangis', Bedtime Fading menumpukan pada cara mengubah waktu tidur si bayi secara perlahan-lahan sehingga mencapai waktu sesuai untuk lena.
Dalam pada itu, antara selebriti tempatan yang mengamalkan konsep sedemikian adalah Datin Intan Najuwa, 28, yang baru-baru ini berkongsi perkembangan anaknya di laman Threads.
Cahaya matanya, Imane Lunara kini difahamkan sudah mampu tidur sendirian dalam katil bayi tanpa didukung ataupun digendong.
Mempraktikkan kaedah sleep training sejak beberapa bulan lalu, Intan walau bagaimanapun sentiasa memerhatikan anaknya melalui kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah keselamatan.
"Lunara dah pandai tidur sendiri dalam baby cot, tanpa buai, endong, tepuk-tepuk je, she is such an easy baby.
"Dulu je nak dukung dan gendong sampai tertidur, but slowly saya buat sleep training, jadi setiap malam saya akan pantau Lunara 24 jam dan masuk bilik dia," katanya.
Sekadar info, suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman menyediakan seramai tiga orang pengasuh Lunara bagi mengelak Intan daripada kepenatan.
Menepis dakwaan tidak bertanggungjawab sebagai ibu, Intan tegas menyatakan dia sama sekali tidak pernah meminta diberi kesenangan sedemikian namun, suaminya sendiri mahukan yang terbaik buat dia anak-anak.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram