Konsert Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play janji keunikan tarian, visual 3D menakjubkan di Genting Highlands


  • Bonda
  • Ahad, 15 Jun 2025

Peminat kartun berpeluang menyaksikan konsert Disney Jr. Live On Tour: Let's Play! yang bakal berlangsung di Genting Highlands kelak.

SEBUT sahaja kartun Disney, senyuman dan gelak tawa pasti terukir di bibir kanak-kanak khususnya mereka yang 'membesar' dengan watak animasi keluaran syarikat global itu.

Biarpun sekadar rekaan dan fantasi semata-mata, rancangan yang dikhaskan buat golongan si kecil itu sentiasa menjadi peneman mereka bahkan turut digemari kumpulan dewasa.

Tidak lagi berselindung di sebalik kaca televisyen, kanak-kanak kini berpeluang untuk menyaksikan sendiri kesemua kartun animasi itu menerusi konsert istimewa Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! bakal diadakan di Arena of Stars, Resorts World Genting Highlands, Pahang kelak.

 BACA LAGI: 'Jaga hubungan adik-beradik', hantaran FB guru ditikam anak bagai petanda awal kes tragis di Melaka

BACA LAGI: [VIDEO] Tak buang air kecil lebih 8 jam antara petanda alahan tidak normal, boleh jejas nyawa ibu hamil

Berlangsung selama empat hari bermula dari 29 Ogos hingga 1 September 2025, penonton akan disajikan dengan lapan persembahan menakjubkan yang menampilkan pelbagai watak daripada siri Disney Jr seperti Mickey Mouse, Minnie Mouse, Ariel The Little Mermaid, SuperKitties, Puppy Dog Pals dan Team Spidey.

Dipersembahkan dalam bentuk pengembaraan muzikal yang interaktif, elemen nyanyian, tarian, visual 3D yang mempesona serta aksi akrobatik menjanjikan pengalaman menghiburkan buat kanak-kanak dan seisi keluarga.

Konsert Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! bakal berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting Highlands.

Antara lagu-lagu popular akan dipersembahkan termasuk: 

Hot Dog! daripada Mickey Mouse Clubhouse 

Oopsie Kitty daripada Super Kitties 

Do the Spidey daripada Marvel’s Spidey and His Amazing Friends 

Penerbit Terrapin Station Entertainment, Jonathan Shank berkata, kehadiran mereka ke Malaysia adalah susulan kejayaan ditempa dalam penampilan dibuat di London baru-baru ini.

"Selepas mendapat sambutan hangat di Amerika Syarikat dan membuat penampilan sulung di peringkat antarabangsa di London, kami amat teruja untuk membawa produksi ajaib ini kepada keluarga di Malaysia," ujarnya.

Tiket kini boleh didapatkan di laman web rasmi rwgenting.com dan ticketingtix.com, serta sebarang perkembangan terkini akan dikongsikan di Instagram, Facebook dan TikTok menerusi #DisneyJrTour.

Sekadar info, Disney Jr. merupakan jenama global dengan pelbagai platform dikhususkan untuk kanak-kanak pra sekolah berumur antara dua hingga tujuh tahun.

Berkonsepkan cerita dan watak yang membawa elemen keajaiban, muzik, pengembaraan dan kasih sayang, Disney Jr. menampilkan siri kegemaran ramai seperti Mickey Mouse Clubhouse, Doc McStuffins, Sofia the First, SuperKitties, Marvel’s Spidey and his Amazing Friends dan Disney Jr.’s Ariel. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram