Usia menjengah 64 tahun, Zang Toi enggan bersara, akui selesa hidup sederhana


  • Gaya
  • Sabtu, 14 Jun 2025

Datuk Zang Toi merupakan antara pereka fesyen tempatan dikenali di peringkat antarabangsa.

DIKENALI dengan sentuhan glamor yang anggun, pereka fesyen kelahiran Kuala Krai, Kelantan, Datuk Zang Toi terus mengukir nama di pentas antarabangsa.

Kini menetap di New York, beliau kekal aktif menghasilkan rekaan busana serba mewah yang menjadi pilihan selebriti seantero dunia.

"Saya bangun awal pagi, minum kopi, membaca berita dan mula bekerja. Hidup saya sangat sederhana, walaupun dikelilingi dunia glamor," katanya.

BACA LAGI: Mengandung luar rahim kali ke-2, Sari Yanti tabah, rayu doa pembedahan jalan lancar

BACA LAGI: Bantu bayi tidur berkualiti, Intan Najuwa antara amal kaedah 'sleep training' buat Imane Lunara

Walaupun berjaya menembusi pasaran global melebihi tiga dekad, Toi tidak melupakan asal usulnya.

Koleksi rekaan terbaharunya bagi musim luruh dan sejuk 2025 turut menggabungkan elemen warisan seperti cheongsam dan manik-manik tradisional sebagai penghormatan kepada ibunya yang kini berusia 97 tahun.

Datuk Zang Toi berpengalaman lebih tiga dekad dalam dunia rekaan fesyen.

 

 

Tiga dekad bertahan dan terus kukuh

Mula dikenali selepas rekaannya disiarkan oleh editor tersohor Anna Wintour dalam siaran Vogue pada 1989, Toi mengakui perniagaannya kini lebih kukuh berbanding sebelum ini.

Tahun 2024 melakar era kebangkitannya meskipun banyak jenama mewah lain mengalami kemerosotan jualan.

Strategi uniknya? Semua rekaan dijual secara tempahan khas tanpa stok berlebihan, tanpa pulangan dan tanpa diskaun.

Modul itu nyata membuahkan hasil apabila menerima tempahan dari pelanggan serata negara yang mahukan sentuhan rekaannya secara eksklusif.

 

Gaya elegan bersederhana

Rekaan Zang Toi dikenali dengan gaya elegan yang tidak keterlaluan.

"Orang pakai Zang Toi untuk kelihatan menonjol, tapi tetap yakin mereka tak nampak ‘berlebih-lebihan’," katanya.

Beliau percaya, rahsia utama ialah menggabungkan fungsi dan fesyen pakaian yang cantik tetapi dipakai.

 

 

 

Belum mahu bersara

Menjelang usia 64 tahun, Toi belum berhasrat untuk bersara, namun mengakui sudah mula memikirkan soal masa depan.

“Saya mahu ada masa untuk melancong, melihat dunia, tapi kalau saya bersara, saya mahu meninggalkan pentas ini dengan kejayaan,” katanya.

Beliau turut menyatakan hasrat menyumbang kepada negara sama ada dalam bentuk pertunjukan fesyen besar atau projek pembangunan bakat baru tempatan.

 

Pesanan untuk pereka muda

Walaupun kurang menerima kunjungan daripada pereka muda Malaysia, Zang Toi sentiasa terbuka untuk memberi nasihat.

"Hubungi saja saya di media sosial, saya akan balas. Seorang kawan pernah berpesan kepada saya, jangan terlalu sibuk untuk jawab panggilan atau mesej," ujarnya.

Katanya lagi, jika satu hari nanti beliau menulis novel, ia bukan sekadar tentang kejayaan, tetapi untuk memberi inspirasi kepada anak-anak muda bahawa impian mereka juga boleh menjadi nyata. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram