
TRAGEDI pesawat Air India yang terhempas berhampiran lapangan terbang di bandar Ahmedabad, New Delhi, India pada Khamis meninggalkan impak besar dalam hati masyarakat seantero dunia.
Mengorbankan seramai 265 penumpang secara keseluruhan, rata-rata mangsa terdiri daripada golongan pelajar dan keluarga yang dijadualkan tiba di London.
Pun begitu, tumpuan dunia terarah kepada kisah pilu yang melanda seorang mangsa apabila terkorban bersama isteri dan anak-anaknya sebelum sempat membina kehidupan baharu di kota London.
Berhajat membawa keluarga tinggal bersama, Dr. Pratik Joshi yang sudah menetap selama enam tahun di negara barat itu sempat berswafoto sebelum penerbangan berlepas.
Dr. Pratik memasang impian menetap di London bersama seisi keluarganya. — Agensi
Difahamkan, persiapan untuk berhijrah ke London dimulakan dengan isterinya, Dr. Komi Vyas yang mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai salah pakar perubatan dihormati di sebuah Hospital Pasifik dekat Udaipur, India dua hari sebelum penerbangan.
Begitu juga dengan kedua-dua anaknya yang turut mendaftar di sekolah baharu di London, semata-mata demi penyatuan semula keluarga selepas sekian lama tidak tinggal sebumbung.
Malang tidak berbau, momen manis dirakamkan dalam pesawat itu menjadi detik akhir apabila mereka terkorban dalam nahas berkenaan.
Merupakan pasangan suami isteri sangat dihormati jiran, pencapaian profesional dan sikap mesra dimiliki meninggalkan kesan mendalam khususnya yang mengenali mereka.
Hal itu sekali gus menjadi iktibar kepada warga maya yang amat mengagumi nilai kekeluargaan dipamerkan mangsa seisi keluarga.
Malah, tidak kurang juga yang menyifatkan aktiviti berswafoto sebagai salah satu cara terbaik merakamkan setiap detik manis bersama keluarga kerana ajal tidak mengira masa.
"Yang pernah naik pesawat mesti akan ambil swafoto dengan keluarga macam ni juga, biar la kita rakam setiap detik bersama kerana tak tahu apa akan jadi masa akan datang kan," kata Syamir.
"Sebab tu saya selalu pesan dekat adik beradik jangan malu untuk bergambar setiap kenangan tu pasti menjadi memori, siapa tahu detik itulah terkahir kita bersama, jadi manfaatkan setiap masa tu bersama keluarga," ujar Abel Liona Karia.
"Ciptalah momen indah bersama selagi masih ada, selepas ni semua tu hanya tinggal kenangan," tambah Pudin Amir.
Dalam pada itu, seorang mangsa warga Britain dikenali sebagai Ramesh Vishwaskumar dilaporkan menjadi satu-satunya penumpang terselamat dalam insiden pesawat terhempas itu.
Berasal dari India dan telah menetap di London sejak 20 tahun lalu, lawatan yang sepatutnya menjadi kunjungan singkat untuk bertemu keluarga bertukar menjadi mimpi ngeri yang hampir meragut nyawa.
Kini, mangsa sedang mendapatkan rawatan lanjut oleh pakar perubatan di India. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram