
TIDAK hanya di Singapura, nama Fatimah Mohsin kini mula menapak ke Malaysia dan pasaran antarabangsa, khususnya dalam industri perkahwinan Melayu moden.
Bagi pereka fesyen dan usahawan berjiwa kental itu, berniaga bukan sekadar profesion, ia adalah warisan dan jati diri.
“Saya seorang yang gigih, berniaga sudah mengalir dalam darah saya sejak kecil,” katanya memetik laporan media antarabangsa.
BACA LAGI: Dari gudang baju lama ke butik, Suna angkat semula keindahan kebaya gaya Gen Z
Fatimah merupakan anak kepada figura terkenal yang sinonim dengan bazar Geylang Serai, Mohsin yang digelar ‘Raja Lelong’ pada sekitar era 70-an hingga 90-an.
Mewarisi semangat bapanya, beliau membesar dalam suasana bazar, melaungkan ‘lelong! lelong!’ dan menyaksikan nilai kerja keras yang diterjemahkan dalam sebaldi wang tunai selepas seharian berniaga.
Namun, Fatimah tidak sekadar mahu mengikut jejak lama. Minatnya terhadap dunia kreatif mendorong beliau untuk menolak tawaran dalam bidang kejuruteraan dan mengikuti pengajian fesyen di LaSalle College of the Arts.
Karier awalnya bermula bersama sebuah syarikat multinasional yang menghasilkan kasut, yang ketika itu bertindak penaja pasukan bola sepak kebangsaan Singapura.
Namun ketika krisis kewangan 1998 melanda, Fatimah terpaksa melepaskan jawatan demi rakan sekerja dan akhirnya beralih arah ke bidang solekan.
Jenama The Wedding Gallery sinonim dengan konsep elegan dan eksklusif. — Instagram/fatimahmohsintwg
Dunia pengantin
Sebagai jurusolek bebas, Fatimah menjadi antara nama pilihan dalam kalangan pengantin Melayu.
Gaya solekan moden dan lembut berbeza daripada norma ketika itu menjadikan karya beliau sesuatu yang unik.
“Saya selalu kena marah, tapi saya percaya pada gaya tersendiri,” katanya berseloroh.
Melalui sambutan hangat dan reputasi daripada mulut ke mulut, beliau mengembangkan bakat kepada perkhidmatan penuh majlis perkahwinan, termasuk perancangan, dekorasi dan busana pengantin.
Lalu lahirlah jenama Fatimah Mohsin, The Wedding Gallery yang kini sinonim dengan konsep elegan dan eksklusif.
“Fesyen berputar. Kalau kita hasilkan rekaan yang klasik, ia akan sentiasa relevan,” katanya.
Pasaran global
Kini, selepas 25 tahun berkecimpung dalam dunia pengantin, Fatimah membawa perniagaannya ke Perth, Australia.
Akuinya, usaha itu merupakan langkah strategik untuk menembusi pasaran global busana perkahwinan sopan dan patuh syariah.
Tidak hanya bergantung pada industri perkahwinan yang disifatkan bermusim, Fatimah bijak mempelbagaikan cabang perniagaan.
Daripada koleksi hiasan rumah Prop Up Store ke dunia makanan dan minuman, Fatimah tidak pernah duduk diam.
Ketika pandemik Covid-19 melumpuhkan banyak sektor, beliau membuka salon rambut dan restoran Thai halal, 555 Halal Thai, sebelum melancarkan restoran masakan Cina halal, Loong Dim Sum, yang turut menawarkan ruang majlis eksklusif.
“Saya ini jenis hustler. Kalau nampak peluang, saya akan kejar,” bicaranya.
Loong Dim Sum ialah sebuah restoran tiga tingkat di Boat Quay yang menyajikan dim sum halal. — Agensi
Mentor
Selepas kejayaan di Singapura, Fatimah kini memberi tumpuan pada Kuala Lumpur sebagai destinasi baharu.
Keputusan itu katanya, sudah lama difikirkan, tetapi hanya kini dapat direalisasikan selepas anak-anak meningkat dewasa.
“Industri perkahwinan di Singapura agak lesu sekarang. Di Kuala Lumpur, saya lihat lebih banyak kreativiti dan peluang.
“Saya akan mencecah usia 50 tahun tidak lama lagi. Saya kata pada diri, kalau bukan sekarang, bila lagi?” soalnya, yang kini mula menerima tugasan solekan termasuk untuk majlis prom sekolah.
Fatimah turut menyuarakan harapan untuk menjadi mentor kepada generasi usahawan baharu.
Bagi beliau, kejayaan tidak datang dengan mudah.
“Awal-awal mungkin ada tuah pemula tapi selepas itu, kerja keraslah yang penting.
“Mula sesuatu memang senang, tapi nak kekalkan dan kembangkan, itu cabaran sebenar,” ungkap beliau.
Ditanya rahsia bertahan selama lebih dua dekad, akuinya, beliau dan suami juga pernah berada di fasa kejatuhan.
Namun pasangan itu bangkit semula dan terus mara bagi membina kehidupan lebih cerah pada masa hadapan.
“Kami pernah jatuh, tapi bangun semula. Kami terus mara sebab kami tak mahu jadi pengikut, saya nak jadi pencetus,” tegasnya.
Dengan semangat yang tidak pernah padam, Fatimah Mohsin bukan sekadar usahawan.
Beliau adalah simbol ketabahan, kreativiti dan keberanian dalam mengejar impian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram