
'KESIHATAN tak dapat dibeli dengan duit'. Demikian luahan penyanyi popular, Wani Kayrie, 25, atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah yang baru-baru ini ditahan di wad kecemasan hospital akibat isu kesihatan.
Berdepan tekanan melampau akibat komitmen kerja yang terlalu banyak, pelantun suara Jangan Jangan itu difahamkan mengalami simptom sakit kepala kuat ataupun 'tension headache' gara-gara tidak cukup rehat.
Jelasnya, dia mengalami gejala muntah-muntah dan pening kepala yang menyebabkan tidak larat untuk memandu hinggakan terpaksa dibantu sahabatnya, Afieq Shazwan untuk ke hospital.
BACA LAGI: Pembuluh darah kepala pecah, suri rumah stres 24 jam jaga anak kini berjuang nyawa di ICU
Lebih memilukan, Wani terpaksa 'beraya' di hospital apabila kejadian itu berlaku pada sambutan Hari Raya Aidiladha.
"Hari ini tak beraya sebab baru 'discharge', terima kasih semua yang mendoakan saya, Alhamdulillah tak ada apa yang serius cuma 'tension headache' sebab kerja tak cukup rehat.
"Apa pun terima kasih sahabat saya Afieq Shazwan dan adik saya tolong bawa pergi klinik sebab tak boleh memandu langsung, muntah-muntah sampailah nak ke wad kecemasan," katanya menerusi laman Instagram pada Sabtu.
Berpesan kepada masyarakat, Wani menggesa agar orang ramai sentiasa mengutamakan kesihatan diri sendiri walau sesibuk mana sekalipun bekerja.
Menganggap kesihatan sebagai satu pemberian tidak ternilai dari tuhan, bekas finalis program realiti Big Stage itu berharap perkongsiannya dijadikan pengajaran buat semua peminatnya.
"Tak kira sesibuk mana pun kita mencari rezeki jangan pernah berkira dengan diri sendiri untuk berehat dan dapatkan tidur yang cukup kerana kesihatan tak dapat dibeli dengan duit.
"Now I learn it’s important to prioritize your own health before anything, selamat hari raya semua," tambahnya.
Sekadar info, selain berkecimpung dalam industi muzik, wanita kelahiran Sandakan, Sabah itu juga turut memahat sejarah hidupnya apabila berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda bidang Undang-Undang dan Perdagangan di sebuah kolej swasta sekitar Mei tahun lalu.
Akui bukan tugas mudah untuk membahagikan masa antara pelajaran dan karier sebagai penyanyi, kejayaan itu dihadiahkan khas buat ibunda tercintanya yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam apa jua bidang diceburi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram