
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengumumkan dua universiti negara iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih bagi melaksanakan projek rintis Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Awam bermula 2025.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, pemilihan kedua-dua universiti itu dibuat sebagai sebahagian daripada kerjasama silang antara KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menambah baik ekosistem pendidikan prauniversiti negara.
Katanya, program rintis terbabit akan melibatkan pelajar Tingkatan Enam dalam dua bidang pengajian utama iaitu Sains dan Sains Sosial.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
"Program Pendidikan Tingkatan Enam di UKM dan USM akan dilaksanakan secara rintis bagi memberi pendedahan kepada pelajar prauniversiti terhadap suasana pembelajaran berorientasikan universiti.
"Dua bidang pengajian yang ditawarkan dalam projek rintis ini ialah Sains dan Sains Sosial," menurut kenyataan itu.
USM dipilih bagi melaksanakan projek rintis Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Awam bermula 2025.
Sementara itu, KPM berkata, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 yang berjaya dan menerima tawaran ke Tingkatan Enam serta memenuhi syarat yang ditetapkan boleh membuat permohonan untuk kemasukan ke Program Pendidikan Tingkatan Enam di UKM dan USM mulai 19 Mei hingga 25 Mei 2025.
Keputusan kemasukan ke universiti itu boleh disemak pada 3 Jun 2025 melalui pautan https://sst6.moe.gov.my.
Sementara itu, KPM turut memaklumkan bahawa semakan tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 boleh dibuat secara dalam talian mulai 19 Mei 2025 menerusi pautan https://sst6.moe.gov.my atau melalui sekolah asal masing-masing.
Bagi murid yang tidak menerima tawaran, rayuan boleh dibuat dari 19 Mei hingga 25 Mei 2025 dan keputusan akan diumumkan pada 3 Jun 2025.
Katanya, pelajar lepasan SPM 2024 yang berjaya dan memenuhi syarat akan diberi peluang memohon program rintis tersebut secara terus melalui sistem permohonan yang sama.
"Semua murid yang menerima tawaran ke Tingkatan Enam perlu melapor diri di Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran pada 10 Jun 2025," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram