'Jadilah 'influencer' berilmu, tak salah belajar lebih 1 bidang', Soo Wincci galak lebih ramai wanita tuntut ilmu berterusan


  • Sukses
  • Jumaat, 06 Jun 2025

Soo Wincci menyeru agar semua wanita mengutamakan pendidikan dalam melakukan apa jua perkara. — Soo Wincci

SEIRING waktu berlalu, peranan wanita kini dilihat lebih meluas dalam pelbagai aspek kehidupan.

Tidak lagi hanya fokus mengurus rumah tangga, kaum hawa juga memainkan peranan penting terutama bagi sektor profesional, ekonomi dan sosial.

Perubahan itu jelas didorong oleh faktor pendidikan bukan sahaja membuka pintu kepada peluang ekonomi, bahkan turut memperkasa wanita untuk menjadi ejen perubahan dalam masyarakat.

BACA LAGI: [VIDEO] Rapat sejak kecil, Mekyun hanya mampu senyum walau sebak 'lepaskan' Abe Wee kahwin

BACA LAGI: Pernah diuji hilang kerja, wanita cekal Serendah bangkit realisasi angan-angan buka bisnes cuci pakaian, bersihkan rumah sekitar PJ

Dr. Soo Wincci

Namun, bak kata penyanyi dan pendidik terkenal, Dr. Soo Wincci, 40, yang berjaya merangkul dua gelaran Doktor Falsafah (PhD), pendidikan juga tidak diukur berdasarkan tahap pengajian di peringkat universiti. 

Baginya, pendidikan sebenar datang daripada pencarian ilmu yang berterusan sama ada melalui institusi formal, pengalaman bekerja atau platform digital.

"Pendidikan sangat penting terutama zaman sekarang yang memang trend sentiasa berubah dengan sangat pantas.

"Sekarang pun ramai sangat nak jadi influencer (pempengaruh media sosial) dan tak mahu belajar.

"Bagi saya, bidang itu tidak salah, tetapi jadilah pempengaruh yang berilmu," katanya kepada Majoriti.

Beliau bagaimanapun menekankan bahawa setiap individu perlu memperoleh sijil pendidikan lebih daripada satu jurusan.

"Satu tak cukup, semua orang perlu belajar dua atau lebih bidang, jadi kita dapat pelbagai pengalaman," ujarnya.

Wincci juga diiktiraf Malaysia Book of Records berdasarkan kejayaan menjadi bekas Miss World Malaysia pertama menerima sijil kedoktoran. — OUM

Sebagai selebriti dan pempengaruh, Wincci tidak menggalakkan golongan itu semata-mata mengejar populariti untuk menaikkan namanya dalam karier tersebut.

Ditambah pula dengan pelbagai kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), secara tidak langsung menjadikan ilmu atau maklumat lebih mudah dicapai.

Mengulas lanjut tentang AI, Wincci berkata, kecanggihan teknologi seperti ChatGPT tidak dinafikan dapat membantu memudahkan tugas para pelajar di universiti.

"Kalau dahulu kita boleh guna Google, tetapi sekarang lagi advance ada ChatGPT.

"Memang boleh bantu, tetapi ia tak semestinya boleh selesaikan masalah. Saya pun seorang pensyarah dan kami juga ada software yang boleh kesan kalau ada unsur plagiat dalam kerja pelajar.

"Boleh guna, tetapi janganlah tiru 100 peratus, perlu juga semak semula fakta. Kita boleh gunakannya dengan baik," jelasnya.

Tambahnya, setiap perkara dilakukan perlu mempunyai keseimbangan dan strategik dalam mencapai kejayaan.

Beliau disifatkan bekas Miss World Malaysia 2008 yang berpendidikan dan berilmu. — Soo Wincci

Menyentuh pula tentang generasi kini yang dikenali sebagai Gen Z, Wincci berpandangan bahawa golongan itu mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Katanya, generasi sekarang mungkin dilihat berperwatakan lemah, tetapi ia lebih kepada sensitif.

"Sensitif maksudnya mereka kadang kala terlalu banyak berfikir sampai boleh beri kesan kepada kesihatan mental.

"Tetapi, imaginasi mereka kalau diletakkan di tempat yang betul, sudah sempurna.

"Dan kita sebagai generasi lebih tua ini sebenarnya perlu memahami dan beri sokongan kepada mereka.

"Disebabkan zaman ini lebih kepada digital dan kita sebenarnya tidak boleh hentikan kebebasan atau kreativiti mereka," ulasnya.

Pun begitu, beliau tetap mengingatkan tentang kepentingan menjaga adab sesama manusia tanpa mengira generasi, umur, kaum atau bangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram