
SIAPA sangka minat terhadap dunia fantasi sedari kecil mampu menjadi pencetus kepada lahirnya sebuah jenama kosmetik tempatan diterajui Kamelia Nisha Khairul Annuar, 32.
Dilahir dan dibesarkan di Petaling Jaya, Selangor, lulusan Asasi Undang-undang daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memilih untuk tidak menjadi peguam, sebaliknya mengikut gerak hati yang mencintai dunia solekan dan ikan duyung.
Minat mendalam itu diterjemahkan dalam bentuk produk kosmetik yang tampil dengan karakter tersendiri.
BACA LAGI: Boss Mama tembusi pasaran global, solusi buat ibu moden
Kamelia Nisha (tengah) menjadi inspirasi kepada wanita muda yang ingin mencipta nama dalam dunia keusahawanan. — Kamelia Nisha
Mula menceburi dunia perniagaan sejak berusia 23 tahun, Kamelia Nisha melancarkan produk sulungnya, Mermaid Matte Lip Cream pada penghujung 2016.
Sejak itu, Kamelia Cosmetics terus berkembang dengan pelbagai rangkaian produk lain seperti bedak asas, pengilat bibir, lip tint, pembayang mata cecair, maskara, pemerah pipi dan edisi terhad lain seperti bedak asas kusyen dan gincu.
Kejayaan individu tersebut tidak datang tanpa cabaran. Pada peringkat awal, keluarga turut mempersoalkan tindakannya memilih laluan kerjaya sebagai usahawan.
"Memang pada awalnya ada segelintir yang mempertikaikan keputusan itu, tetapi Alhamdulillah selepas melihat bisnes semakin berkembang, mereka mulai faham dan menerima," katanya kepada Majoriti.
Namun bagi wanita yang begitu meminati rona merah jambu itu, keputusan tersebut turut diambil kerana ia menawarkan lebih fleksibiliti untuk bersama suami dan anak-anak, memandangkan beliau juga sudah berkahwin dan bergelar ibu sewaktu masih belajar.
Kamelia Nisha mula menceburi dunia perniagaan sejak usia 23 tahun. — Kamelia Nisha
Kahwin muda
Mendirikan rumah tangga pada usia 20 tahun, Kamelia Nisha tidak menjadikan perkahwinan sebagai penghalang untuk meneroka potensi diri.
Malah ujarnya, suami, Ameer Mohamad Affif Shahidan berusia 33 tahun, adalah antara susuk penting yang memberi sokongan padu sejak awal penubuhan jenama kosmetiknya.
“Suami saya sangat mendukung, malah adakalanya beliau sendiri jadi tukang penasihat.
"Sebagai wanita sudah berkahwin, kita sangat perlukan sistem sokongan. Jika tiada sokongan keluarga, mustahil untuk perniagaan berjaya,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, ceritanya, selepas berkahwin, beliau mengikut suami menyambung kursus di United Kingdom (UK) selama dua tahun.
Di sanalah anak sulung daripada lima beradik itu mula terdedah dengan pelbagai jenama kosmetik yang berkualiti tinggi namun mampu milik.
Suami adalah antara susuk penting yang memberi sokongan padu kepada Kamelia Nisha (kanan) sejak awal penubuhan jenama kosmetiknya. — Kamelia Nisha
“Sekitar 2015, saya tengok banyak jenama kosmetik di UK yang trending, berkualiti dan sangat mampu milik.
"Sekembalinya di Malaysia, saya buat perbandingan, pengguna cuma ada dua pilihan, sama ada rangkaian penjagaan peribadi dan kedai kecantikan biasa yang kurang berkonsep atau jenama mewah di rangkaian tertentu.
"Dari situ saya terinspirasi untuk bina jenama sendiri yang berkonsep, moden dan mampu milik,” katanya.
Bermula sebagai pelajar dengan anak kecil dan dana yang sangat terhad, Kamelia Nisha memulakan perniagaannya dengan modal di bawah RM10,000 hasil sokongan suami dan keluarga.
Wanita itu membina jenama secara kecil-kecilan dan menggunakan strategi guna semula modal untuk mengembangkan bisnesnya.
“Memang susah nak bahagikan masa. Ketika itu saya sudah ada anak kecil, tapi Alhamdulillah saya ada pembantu.
"Saya tidak rasa bersalah sebab minta bantuan. Sebagai wanita, kita perlu tahu apa yang nak dicapai dan kena pandai bahagikan tugas, tidak boleh buat semua benda sendiri.
"Jika nak duduk rumah sebagai suri rumah atau keluar bekerja, itu pilihan sendiri. Yang penting perlu ada tolak ansur," tuturnya.
Pensyarah menjadi antara pelanggan setianya ketika memulakan perniagaan sewaktu zaman belajar. — Kamelia Nisha
Trend kecantikan
Menyentuh soal era kecantikan moden, kongsinya, beliau melihat satu trend utama yang kini mendominasi cita rasa pengguna tempatan, yakni gabungan antara solekan dan penjagaan kulit.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, pengguna masa kini semakin bijak memilih produk yang bukan sahaja memberi kesan cantik seketika, tetapi turut menjaga kesihatan kulit dalam jangka masa panjang.
"Contohnya, bedak asas kami bukan sekadar untuk melitupi, tapi mengandungi bahan aktif seperti ekstrak teh hijau dan bunga Camelia.
"Bahan ini memberi kesan bercahaya dan juga sesuai untuk kulit sensitif serta berjerawat,” jelasnya menambah pengguna Malaysia juga mahukan produk yang cepat, ringkas dan sesuai untuk digunakan harian.
Ditipu
Pernah ditipu kilang pengeluar produk pada 2017, menjadi antara momen sukar dilupakan ahli perniagaan itu.
Ceritanya, kilang tersebut gagal menepati jadual penghantaran yang dipersetujui, menyebabkan ribuan unit produk tidak sempat sampai untuk kempen jualan Aidilfitri.
"Produk yang ditempah sepatutnya siap awal untuk pasaran raya, tetapi akhirnya sampai lima bulan lewat. Semua rakan niaga dah buat tempahan dan pemasaran.
"Apabila produk tak sampai-sampai, pelanggan pun lupakan kami," katanya.
Kegagalan itu bukan hanya menjejaskan imej syarikat yang masih bertatih ketika itu, malah menjerumuskan mereka ke dalam kerugian enam angka.
Wang hasil pusingan modal yang sepatutnya digunakan untuk mengembangkan stok hangus begitu sahaja.
“Saya dan suami memang terduduk waktu itu. Tak tahu nak buat apa tapi dari pengalaman tersebut, kami belajar lebih berhati-hati dalam memilih rakan niaga dan pembekal,” ujarnya.
Produk Kamelia Cosmetics kini boleh didapati di 50 cawangan Guardian sekitar Lembah Klang. — Kamelia Nisha
Rangkaian farmasi
Tahun 2025 mencatat satu lagi kejayaan besar apabila produk Kamelia Cosmetics mula memasuki pasaran peneraju rantaian runcit farmasi, kesihatan dan kecantikan terkemuka, Guardian Malaysia (Guardian).
Bermula Januari 2025, produk mereka kini boleh didapati di 50 cawangan Guardian sekitar Lembah Klang.
“Apabila saya tengok semakin banyak jenama tempatan masuk ke Guardian, saya terus ambil inisiatif hubungi pihak berkenaan sendiri.
"Tak sangka, mereka sebenarnya sudah lama memerhati jenama kami dan memang menyimpan hasrat untuk bekerjasama,” ujarnya dalam nada teruja.
Dengan semangat inovasi yang berterusan dan tekad untuk terus kekal relevan dalam industri kosmetik, Kamelia Nisha bukan sahaja menjadi bukti impian zaman kanak-kanak boleh direalisasikan, tetapi juga inspirasi kepada wanita muda yang ingin mencipta nama dalam dunia keusahawanan.
“Wanita kena berani bawa identiti dan minat sendiri dalam perniagaan. Itu yang akan buatkan jenama kita berbeza,” pesannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram