
DALAM era media sosial yang semakin meluas, semakin ramai wanita khususnya ibu muda terbuka untuk berkongsi perjalanan menyusu badan di platform seperti Instagram, TikTok dan Facebook.
Daripada gambar stok susu perahan hingga tips menangani bengkak susu, topik yang dahulunya dianggap peribadi kini kian menjadi topik perbincangan awam.
Namun, persoalan yang semakin hangat dibincangkan, adakah wajar dan sesuai untuk perkara sedemikian dikongsikan di laman sosial? Atau adakah ia sudah melampaui batas norma kesopanan sebagai seorang wanita?
BACA LAGI: Pembuluh darah kepala pecah, suri rumah stres 24 jam jaga anak kini berjuang nyawa di ICU
BACA LAGI: Chef Wan masih pegang 20 peratus saham syarikat Metta, nafi restoran diambil sepenuhnya pelabur
Ada berpendapat ia berperanan sebagai panduan buat ibu hamil kali pertama namun, tidak kurang juga pihak yang membidas perkara itu sebagai tindakan memalukan kaum hawa.
Pro
Cakna tentang isu berbangkit, selebriti popular Intan Najuwa berkongsi pendapatnya berkaitan perkara itu yang dianggapnya sebagai satu perkara normal di zaman sekarang.
Jelasnya, dia cukup sedih melihatkan situasi bila mana hal itu dihakimi oleh golongan wanita sendiri yang bagaikan hilang pertimbangan terhadap ibu menyusu.
Intan Najuwa dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang dinamakan Imane Lunara.
"Biar semua ibu-ibu di luar sana gembira dan kongsi apa sahaja yang mereka mahu tanpa dihakimi, sejujurnya sedih melihat wanita sendiri menjadi punca perpecahan.
"Ibu-ibu! terus kongsikan cerita anda, raise awareness, tak salah untuk menyiarkan tentang tip penyusuan susu ibu atau perjalanan menyusu anda.
"Sebagai ibu kali pertama, saya belajar banyak hanya daripada melihat perkongsian di laman sosial dan bagi sesiapa yang suka, berhenti tengok," katanya di laman Threads.
Sementara itu, @qilayani91 sentiasa mengutamakan keperluan anak melebihi segalanya.
Jelasnya, menyusu bayi di tempat awam boleh dilakukan dengan syarat mestilah memakai kain penutup ataupun pakaian yang bersesuaian dengan golongan ibu.
"Kenapa nak susukan anak pun kena sorok, tak semua tempat ada nursing room, kalau tengah makan lepas tu anak lapar kena berhenti makan masuk kereta?
"Kau makan dekat kedai tapi anak kau makan kat dalam kereta? Yes perempuan kena ada rasa malu sebab tu wujudnya nursing cover, wujudnya baju menyusu.
"Pernah ke nampak nursing cover yang lutsinar," katanya.
Kontra
Pun begitu, tidak kurang juga segelintir individu yang memandang perkara itu sebagai perkara 'pervert' dan khuatir terjurus ke arah gejala sosial.
@iza_rahman38 menggesa perkara itu tidak menjadi kebiasaan dalam kalangan wanita walaupun menyusu di kalangan ahli keluarga terdekat.
"Fikir balik yang tengok tu anak sedara sendiri, jiran, budak bawah umur dan lelaki gatal pun ada, tak semua benda boleh tayang segan la sikit dengan khalayak ramai.
"Lepas tu ibu yang susu sikit akan rasa tak semangat dan rendah diri sebab tengok susu orang lain banyak, lepas tu bergaduh sesama sendiri," katanya.
Dalam pada itu, seorang wanita tegas menyatakan risiko dan bahaya kepada ibu gemar berkongsi gambar ataupun video menyusu di platform sosial.
Menurut @bellaznd, ia boleh mengundang pemikiran negatif terutamanya golongan lelaki.
"Macam mana seorang ibu boleh kongsi gambar menyusu anak, entahlah tak rasa malu ke tunjuk selak baju depan semua orang.
"Lelaki yang tengok tu mesti fikir perkara tak elok, benda yang bukan-bukan, biasanya mesti macam tu kan kalau dah tengok perkara macam ni," tambahnya.
Justeru, perkongsian pengalaman menyusu di media sosial bukanlah soal betul atau salah, sebaliknya ia bergantung pada niat, cara penyampaian serta sensitiviti kepada khalayak.
Dalam usaha menyokong ke arah positif, elemen kesopanan, etika dan batas budaya perlu dijaga demi keselamatan awam, masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dalam menjaga keharmonian terutamanya golongan wanita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram