
PERKAHWINAN itu merupakan tanggungjawab antara suami dan isteri dalam sesebuah institusi kekeluargaan.
Sikap bertanggungjawab antara satu sama lain penting bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga.
Bagaimanapun jika perkara itu hanya dilaksanakan oleh sebelah pihak, maka pasangan berkenaan dikhuatiri bakal berdepan dengan penceraian.
Berdasarkan firman ALLAH dalam surah An-Nahl ayat 72 bermaksud: ”Dan ALLAH menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri) dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kammu, anak, cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu benda yang baik lagi halal. Maka patutkah mereka yang ingkar itu percaya kepada perkara yang salah (menyembah berhala) dan mereka kufur (menginginkari) pula akan nikmat ALLAH.”
Tanggungjawab suami terhadap keluarga bukan hanya ketika waktu senang.
Disebabkan itu, suami mahupun isteri perlu mempunyai sifat bertanggungjawab dalam rumah tangga.
Namun, terdapat suami yang tidak dapat menerima hakikat bahawa isterinya jatuh sakit dan memerlukan pemerhatian khusus.
Perkara itu terutama melibatkan kos rawatan tinggi, penjagaan rapi dan beberapa hal lain yang dirasakan rumit dan membebankan.
Disebabkan enggan memikul tanggungjawab itu, isteri yang sedang sakit diceraikan dan perlu meneruskan kehidupan sendiri.
Kata pendakwa popular, Ustaz Azhar Idrus, suami yang mempunyai sifat begitu merupakan seorang tidak bertangungjawab dan bersikap zalim ke atas isteri.
“Apabila seorang lelaki menikahi seorang wanita, itu bermakna dia menerima amanah untuk menjaga dan memelihara.
Institusi kekeluargaan perlu bukan sahaja melibatkan sebelah pihak sahaja kerana suami dan isteri perlu saling bertanggungjawab.
“Hendak berkahwin dengan lain itu tidak mempunyai masalah, tetapi ketika dia (isteri) sakit jangan diceraikan pula,” katanya dalam satu video ceramah agama.
Dalam pada itu, Azhar turut mengatakan peranan suami dalam rumah tangga ialah perlu bertindak sebagai pemimpin dalam keluarga.
“Sekiranya isteri sakit, buang isteri, anak sakit buang anak. Kalau diri sendiri sakit, bagaimana? Mengapa tidak dibuangkan saja diri sendiri,” soalnya.
Secara kesimpulan suami perlu memikul amanah dengan baik kerana ALLAH memberikan sifat kepimpinan kepada suami.
Perkara itu bukan semata-mata kemuliaan yang dianugerahkan, tetapi perkara itu juga merupakan tugasan berat dalam memelihara kemaslahatan seisi keluarga. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram