
MOMEN menyentuh hati yang dirakam di sebuah sekolah mengundang rasa sebak dalam kalangan warga maya, apabila seorang murid sindrom Down menenangkan rakannya yang menangis, dengan penuh kasih sayang dan kelembutan.
Dalam video yang tular di media sosial sejak Ahad lalu, kanak-kanak berkeperluan khas itu dilihat memeluk rakannya sambil mengusap kepala budak itu dengan perlahan-lahan.
Beliau seolah-olah cuba menenangkan emosi kawannya yang sedang berduka.
BACA LAGI: Gangguan genetik bukan halangan, 3 wanita sindrom Down ini antara suntik 'vitamin' inspirasi
Bagaimanapun, punca sebenar yang menyebabkan kanak-kanak itu menangis masih belum dikenal pasti setakat ini.
Tindakan spontan penuh empati tersebut membuatkan ramai yang terharu dengan keikhlasan hati si kecil berkenaan.
“Kadang-kadang kita yang dikatakan ‘normal’ ini pun belum tentu boleh bertindak setenang dan sepenyayang itu,” tulis pengguna Instagram dengan nama akaun eza_hrsmann.
“Sebab itu dia istimewa,” ujar Andrealima, merujuk pada nilai kasih sayang yang ditunjukkan murid tersebut.
Sindrom Down adalah satu keadaan genetik berlaku apabila terdapat satu kromosom tambahan dalam tubuh, yang menjejaskan perkembangan fizikal dan intelek seseorang.
Kanak-kanak dengan sindrom Down lazimnya mengalami kelewatan pembelajaran dan pertumbuhan, selain mempunyai ciri-ciri wajah tersendiri.
Namun begitu, di sebalik cabaran tersebut, ramai mengakui bahawa mereka sering menunjukkan sifat penyayang, jujur dan peka terhadap emosi sekeliling.
Peristiwa ringkas itu menjadi peringatan bahawa kebaikan tidak memerlukan kata-kata hebat atau pencapaian besar, tetapi cukup hadir daripada hati yang tulus.
Ia juga menonjolkan bahawa keistimewaan sebenar seseorang bukan terletak pada kebolehan fizikal atau intelek, tetapi keupayaannya untuk menyentuh hati orang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram