
NAMA Sawitri semakin kerap meniti di bibir peminat susulan kejayaannya sebagai model berasal dari Indonesia yang berjaya menembusi dunia peragaan Eropah.
Lebih membanggakan, wanita kelahiran Medan, Sumatera Utara itu bukan sahaja aktif sebagai model profesional, malah turut lantang memperjuangkan kesedaran menentang budaya buli berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri.
Dilahirkan pada 23 Jun 1996, pemilik nama lengkap Sawitri Khan berdarah campuran India-Indonesia sebelah bapa dan Bali sebelah ibu itu, dibesarkan di Jembrana, Bali sejak berusia tiga tahun.
BACA LAGI: Sejak kecil jual pelekat di sekolah, kemoterapi tak halang Elyana bereksperimentasi dalam F&B
BACA LAGI: [VIDEO] Ambil berkat nama isteri, pengasas hiasan dinding terokai dunia kaligrafi Islam
Di situlah beliau menghabiskan zaman persekolahan dari peringkat rendah hingga menengah.
Pada awalnya, dunia peragaan langsung tidak tersenarai dalam perancangan hidupnya.
Beliau pernah bercita-cita menjadi peguam, namun selepas tamat sekolah menengah, Sawitri hanya melanjutkan pelajaran selama setahun di sebuah sekolah pelancongan di Bali.
Sawitri kemudian menyedari bahawa bidang tersebut tidak serasi dengannya.
Hijrah ke Jakarta
Perubahan besar berlaku pada 2017 apabila beliau berhijrah ke Jakarta dan bekerja di syarikat milik ibu saudaranya yang terlibat dalam bidang pendidikan pelaburan saham.
Demi menyara keluarga dan dua adik masih bersekolah, Sawitri melakukan pelbagai kerja sambilan termasuk menjual bunga, menjadi penganjur acara dan model sambilan.
Langkah pertama dalam dunia peragaan bermula hasil dorongan ibu saudaranya yang melihat potensi besar dalam diri wanita itu.
Sawitri (tengah) semakin aktif mengembangkan karier sebagai model profesional.
“Makcik cakap, kenapa saya tak cuba jadi model? Awak kurus, tinggi, kulit pun unik.
"Mak cik sangat menyokong dan suruh saya masuk sekolah peragaan dulu,” katanya memetik laporan portal antarabangsa.
Walaupun sibuk dengan pelbagai pekerjaan, Sawitri tetap meluangkan masa untuk belajar teknik peragaan, termasuk secara kendiri melalui YouTube.
Model berketinggian 174 sentimeter tersebut berjaya menamatkan pengajian dalam bidang peragaan, namun perjalanan awal di Indonesia tidak mudah.
Beliau hanya menerima sedikit tawaran kerja dan pernah gagal dalam sesi uji bakat di Paris.
Segalanya berubah apabila beliau diperkenalkan kepada agensi pemodelan di Warsaw, Poland, hasil bantuan rakan kepada teman lelakinya yang kini menjadi suaminya.
Sawitri memiliki ketinggian 174 sentimeter dan berwajah eksotik. — Instagram/iamsawitri
Wajah eksotik
Sejak 2022, nama Sawitri terus melonjak dalam dunia fesyen antarabangsa apabila tampil dalam pelbagai acara fesyen berprestij, termasuk Minggu Fesyen Lisbon dan Minggu Fesyen Portugal.
Keanggunan dan keunikan wajahnya nyata mencuri tumpuan ramai, termasuk pereka-pereka terkenal dari seluruh dunia.
Berbekalkan ciri wajah eksotik dengan mata berwarna coklat dan rambut hitam menawan, Sawitri menjelmakan aura tersendiri yang sukar dilupakan di pentas peragaan.
Ditambah dengan bentuk tubuh yang ideal, beliau kini dianggap sebagai salah seorang model Asia Tenggara yang semakin menonjol dalam arena fesyen global.
Kini, Sawitri bernaung di bawah sembilan agensi pemodelan di Eropah, termasuk agensi utama, Rebel Models Management di Poland.
Namanya kian menyerlah selepas bekerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa seperti Zalando, Adidas, Pull & Bear, About You dan Puma.
Ibu sumber kekuatan
Sawitri sering dibuli di sekolah gara-gara kulit gelap dan tubuh terlalu kurus. — Instagram/iamsawitri
Bagi Sawitri, kejayaan dan kemasyhuran dikecapi adalah berkat doa ibunya merupakan sumber kekuatan dan penyokong paling setia dalam membina kariernya sebagai model.
“Saya tidak akan berada di tahap ini tanpa doa dan dorongan ibu. Beliau sentiasa percaya kepada saya, walaupun ketika diri sendiri ragu-ragu,” kata Sawitri.
Meskipun kini menetap dan bekerja di Eropah, Sawitri kekal merendah diri dan tidak pernah melupakan asal usulnya.
Beliau kerap berkongsi rutin harian serta momen bersama keluarga di kampung halaman menerusi akaun TikToknya, iamsawitri.
Dibuli rakan sekolah
Lebih daripada sekadar wajah untuk kempen fesyen, Sawitri juga menggunakan platformnya untuk menyebarkan mesej antibuli, terutamanya kepada golongan muda.
Di sebalik kejayaannya di pentas fesyen antarabangsa, model itu ternyata menyimpan kisah silam yang pahit ditelan, termasuk pengalaman dibuli ketika zaman persekolahan.
Kongsi Sawitri, beliau pernah terpaksa makan tergesa-gesa dan melarikan diri semasa waktu rehat gara-gara kehadiran pembuli di sekolah.
"Saya pernah dibuli gara-gara memiliki kulit berwarna gelap dan terlalu kurus.
"Disebabkan itu, saya sering rasa cemas dan tidak selamat setiap kali pembuli berkenaan melintasi ruang sekolah.
"Keresahan tersebut bukan sahaja mengganggu emosi, malah meninggalkan kesan mendalam dalam diri saya sebagai remaja pada ketika itu," ceritanya.
Berdasarkan pengalaman peribadi, beliau mahu menjadi suara dan inspirasi kepada individu yang pernah berasa tersisih atau tidak yakin dengan diri mereka.
Sawitri bukan sahaja menjadi bukti bahawa impian besar boleh dicapai walau berasal dari latar belakang sederhana, tetapi juga simbol keberanian seorang wanita yang bangkit dan memberi inspirasi kepada dunia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram