
RAWATAN persenyawaan in vitro (IVF) semakin mendapat tempat dalam kalangan pasangan yang menghadapi masalah kesuburan, khususnya apabila kaedah semula jadi tidak membuahkan hasil.
Dengan kemajuan teknologi dan kepakaran perubatan, IVF kini menjadi antara jalan utama yang menawarkan harapan buat ramai pasangan untuk memiliki zuriat sendiri.
Bukan sekadar pilihan terakhir, tetapi satu peluang perubatan yang terbukti berkesan bagi pelbagai jenis masalah kesuburan, termasuk faktor lelaki dan wanita.
BACA LAGI: Sihat atau tidak? Panduan ibu bapa kenal pasti jenis muntah bayi berdasarkan warna
Hal itu boleh digambarkan menerusi perkongsian seorang pempengaruh tempatan menjalani rawatan kesuburan tersebut baru-baru ini.
Menanti lebih tujuh tahun untuk mendapatkan cahaya mata, Hooi May atau lebih dikenali sebagai Dear Carynn tampil berkongsi kisah perjuangannya sebagai teladan orang ramai.
Memerlukan suntikan hormon secara berkala di rumah, Carynn cekal melakukannya sendirian walaupun terpaksa menanggung kesakitan kaedah rawatan tersebut.
Memasuki hari ketujuh, beliau akhirnya hadir membuat pemeriksaan di hospital untuk mengimbas status kandungannya.
Pun begitu, Caryyn difahamkan masih belum mendapat kata putus daripada doktor berhubung pembentukan janin dalam kandungannya dan rawatan IVF perlu diteruskan atas nasihat pakar.
"Tidak ada sesiapa yang menyangka ia tidak akan berlaku, jangan rasa gementar, jika ia tidak berlaku, kita akan berusaha.
"Akhir bukan penghujung, akhir itu adalah permulaan versi kita yang lebih kuat, trust the process," ujarnya.
Apa itu IVF?
IVF ialah satu proses telur wanita dikeluarkan dan disenyawakan dengan sperma di luar tubuh, sebelum embrio yang terhasil dimasukkan semula ke dalam rahim.
Rawatan ini sesuai untuk pasangan yang mengalami masalah seperti tiub falopio tersumbat, ovulasi tidak teratur, endometriosis atau jumlah dan kualiti sperma yang rendah.
Kebaikan utama rawatan IVF
1. Peluang kehamilan lebih tinggi
IVF menawarkan kadar kejayaan yang lebih tinggi berbanding kaedah kesuburan lain, terutamanya apabila dijalankan di pusat kesuburan berpengalaman di samping teknologi terkini.
2. Bantu pasangan mandul
Sama ada disebabkan faktor lelaki, wanita atau kedua-duanya, IVF mampu mengatasi pelbagai halangan fizikal dan hormon yang menyukarkan kehamilan secara semula jadi.
3. Penggunaan teknologi canggih
Dengan bantuan teknik seperti Preimplantation Genetic Testing (PGT), embrio yang sihat boleh dikenal pasti sebelum dipindahkan, sekali gus mengurangkan risiko keguguran dan kelainan genetik.
4. Pilihan pembekuan embrio
Pasangan boleh menyimpan embrio yang berlebihan untuk kegunaan masa depan, sekali gus memberi lebih banyak peluang kehamilan tanpa perlu menjalani proses penuh IVF sekali lagi.
5. Peluang untuk ibu berusia hamil
Wanita berusia lebih 35 tahun atau yang mengalami penurunan kualiti telur boleh menggunakan telur penderma atau telur beku mereka sendiri untuk hamil melalui IVF.
Justeru, IVF telah membuka ruang baharu dalam dunia perubatan dan menjadi sinar harapan kepada ramai pasangan yang telah lama menantikan kehadiran si kecil dalam hidup mereka.
Dengan sokongan pakar dan pendekatan holistik, rawatan ini bukan lagi impian, tetapi satu kenyataan yang mampu dicapai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram