
PERKAHWINAN bukanlah sekadar mencipta momen indah tetapi lebih kepada perjalanan bersama yang penuh ujian dan cabaran.
Seperti yang dikongsikan oleh wanita, Izyan Jamal di laman Threads, perkahwinan disifatkan sebagai satu anugerah memerlukan kesabaran dan pengorbanan besar.
Kisah cinta beliau bersama suami bukan hanya tentang kebahagiaan, tetapi juga mengenai bagaimana mengharungi setiap ujian hidup dengan penuh kesyukuran.
Alam perkahwinan memerlukan kesabaran yang tinggi. — Gambar hiasan
Menceritakan memorinya dalam rumah tangga, Izyan memulakan perkahwinan dengan satu niat yang sederhana, namun mendalam iaitu menginginkan kehidupan diberkati ALLAH bersama suami baik agamanya.
Tanpa mengharapkan kesenangan material, mereka berdua hanya berharap untuk menjalani kehidupan yang diredhai-NYA.
Namun, ketika diuji dengan bisnes suami yang jatuh berkali-kali, Izyan tidak memilih untuk merungut.
Sebaliknya, dengan penuh yakin dan lapang dada, beliau mengulangi kata-kata yang menjadi pegangan hidupnya,"ALLAH akan cukupkan kita. Kita tak kelaparan pun, nikmat yang besar dari ALLAH. Alhamdulillah."
Setiap kali diuji, beliau dan pasangannya memilih untuk bersabar dan terus meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada ALLAH.
“Rezeki itu milik ALLAH 100 peratus. Jangan pernah bergaduh soal rezeki dalam perkahwinan, kerana ia adalah ketentuan-NYA,” katanya.
Dengan penuh tawakal, mereka tetap melangkah maju, yakin bahawa segala ketentuan ALLAH adalah yang terbaik.
Izyan bersyukur mampu tinggal di rumah sendiri bersama suami tercinta tanpa sebarang hutang. — Gambar Hiasan
Tanpa dijangka, selepas LIMA tahun mendirikan rumah tangga, mereka berdua kini mampu meraih rezeki yang tidak disangka-sangka iaitu berpindah ke rumah sendiri tanpa sebarang hutang.
“Genap setahun berpindah ke rumah sendiri tanpa hutang, dihadiahkan kepada insan bernama isteri. Tak pernah dalam perancangan untuk memiliki rumah ini, tapi plot twist ALLAH itu Maha Hebat,” tulis Izyan.
Izyan menganggap rumah itu bukan hanya sebuah tempat tinggal, tetapi simbol kemenangan dalam menghadapi ujian dan berkat ketabahan dia dan pasangannya.
Menurut Izyan, seorang suami yang Qawwam bukanlah diukur berdasarkan kekayaan material, tetapi pada kebolehannya memberi rasa selamat kepada isterinya dalam segala keadaan.
“Rasa selamat ini datang daripada ketakwaan yang tinggi kepada ALLAH. Bukan pada berapa banyak harta yang dimiliki, tetapi sejauh mana suami mampu menjaga isterinya dengan penuh kasih sayang dan amanah,” katanya.
Begitu juga dengan peranan seorang isteri, Izyan percaya bahawa seorang isteri yang qanaah perlu sentiasa merasa cukup dengan apa ada disifatkan sebagai kunci kepada kebahagiaan rumah tangga.
"Dengan sifat qanaah, kita belajar untuk bersyukur dan menghargai setiap nikmat yang ALLAH beri. Ketika kedua-dua pasangan saling menghargai dan bersyukur, kebahagiaan akan datang dengan sendirinya," tambah Izyan.
Izyan mengingatkan bahawa perkahwinan itu adalah pilihan pasangan masing-masing dan sebuah perjalanan dua hati yang saling melengkapi.
"Yang penting adalah saling berusaha untuk mencapai syurga ALLAH dan menjaga hubungan ini dengan penuh kasih sayang," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, hantaran itu mendapat ribuan reaksi positif di kalangan pengguna Threads dengan ramai golongan wanita yang mengaku terinspirasi daripada kisah itu.
“Suka baca sharing kak Izyan, selalu uplifting dan memberi inspirasi. Benar-benar memotivasikan saya untuk menjadi wanita yang lebih baik dan terus berusaha memperbaiki diri," kata Hidayaah.
“Alhamdulillah. Allahumma baarik. Semoga cinta seperti ini menemui saya," kata Aisyx Humairx yang berharap untuk menemukan cinta yang sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram