
ANUGERAH cahaya mata sememangnya satu pemberian tidak ternilai daripada sang pencipta yang dimahukan setiap insan bergelar suami isteri.
Pasangan baharu berkahwin ataupun yang sudah lama membina mahligai, masing-masing pasti teruja untuk menyambut kelahiran 'orang baharu' dalam keluarga.
Gembira bercampur sedih, keterujaan sang bapa usai dikurniakan anak bagaikan satu rahmat terbesar tuhan yang tidak terhingga memandangkan masih ramai pejuang 'dua garis' di luar sana yang berjuang mendapatkan zuriat.
BACA LAGI: [VIDEO] Hargai pembantu rumah, Madammu hadiahkan lembu korban harga RM5,000 sempena Aidiladha
BACA LAGI: Jepun cipta teknologi rahim buatan pertama dunia, janin berkembang di luar tubuh manusia
Situasi itu boleh digambarkan menerusi pengalaman suami kepada pempengaruh tempatan, Shaniena Natasya yang nyata sangat bersyukur akan kelahiran bayi pertamanya baru-baru ini.
Tidak hanya tertumpu kepada isterinya, individu dikenali sebagai Choudhry Wasim itu turut menghargai jasa dan peranan barisan jururawat yang berjuang sehabis baik demi memastikan keselamatan bayinya.
Bagaikan durian runtuh, beberapa petugas kesihatan di hospital terbabit dihadiahkan barangan kemas berupa loket emas dipercayai bernilai ribuan ringgit.
Menerusi hantaran di laman sosial, individu berkenaan dilihat membawa beberapa beg kertas berisi hadiah loket emas khas buat para jururawat yang bertugas di wad isterinya sebagai tanda penghargaan.
"Bini dia bersalin, nurse (jururawat) yang dapat emas," ciapnya pada hantaran tersebut.
Meraih perhatian warga maya, rata-ratanya amat mengagumi sikap dermawan dipamerkan Choudhry terhadap petugas kesihatan yang acap kali diabaikan peranannya oleh pesakit.
"Bersyukurnya dapat hadiah loket emas, pemurah betul suaminya bagi hadiah emas kat jururawat, lagi semangat nak kerja kalau macam ni," kata Aleyshaa.
"Akhlak yang patut dicontohi, menghargai para pasukan perubatan yang membantu isteri dia lahirkan bayi pertama," ujar NRSD.
"Murah rezeki cik suami, untung jururawat kat situ, selamat berpantang ya ibu," tambah Lieya.
Sekadar info, pasangan romantis itu mula mendirikan rumah tangga pada Mei 2023 dan kini selamat menimang cahaya mata pertama mereka di sebuah hospital dekat Pulau Pinang.
Choudhry yang juga dikenali sebagai DJ Twister, aktif dalam bidang muzik sebagai DJ.
Sering tampil dalam kandungan media sosial Shaniena, individu tersebut sebelum ini pernah menghadiahkan tiket penerbangan 'business class' kepada isterinya sempena ulang tahun kelahirannya.
Pernah terpalit dakwaan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, Shaniena walau bagaimanapun tampil menafikan perkara itu dan menegaskan bahawa mereka mencari rezeki secara halal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram