
SEIRING teknologi semasa, ibu bapa zaman moden kini lebih mudah mendapatkan maklumat berkaitan kaedah dan penjagaan bayi.
Segalanya di hujung jari, trend penjagaan anak juga melalui revolusi tersendiri apabila pelbagai tip boleh dijadikan panduan khususnya bagi pasangan yang kali pertama bergelar ibu bapa.
'Melentur buluh biarlah dari rebungnya', peribahasa itu menggambarkan situasi dan budaya mendidik anak yang kini banyak tertumpu sejak peringkat bayi baru lahir.
BACA LAGI: [VIDEO] Isteri bersalin anak pertama, suami hadiahkan jururawat loket emas tanda penghargaan
BACA LAGI: Teringin bayi lelaki atau perempuan? Kaedah 'shettles' bantu ibu bapa rancang jantina anak
Trend penggunaan kad imbas atau flash card dalam kalangan ibu bapa muda menjadi salah satu kaedah terbaik untuk merangsang perkembangan bayi yang dikatakan mampu membantu komunikasi serta daya tumpuan mereka.
Namun, baru-baru ini kecoh di laman Threads apabila cara itu dikatakan kurang sesuai dalam tumbesaran si bayi yang sepatutnya diberikan lebih daya deria sentuhan dan pendengaran.
Warga maya di laman Threads yang rata-ratanya terpengaruh dengan trend tersebut bagaikan 'terpaku' apabila dimaklumkan tentang keburukan penggunaan flash card pada si bayi.
Menurut Pakar Terapi Cara Kerja Kanak-Kanak, Liyana Raya, penggunaan kad kepada bayi bukanlah satu amalan yang digalakkan kerana fasa awal kehidupan bayi sepatutnya memberi keutamaan kepada pembentukan hubungan emosi.
"Saya tidak menggunakan langsung flash card, termasuklah jenis yang berwarna hitam dan merah yang popular itu, pada saya bayi belum sesuai untuk bentuk pembelajaran visual seperti itu.
"Lebih penting untuk saya membina hubungan emosi dan komunikasi dengan bayi melalui sentuhan, suara dan eye contact," katanya menerusi video di TikTok.
Bayi hilang fokus
Jelasnya, walaupun tempoh masa flash card itu digunakan hanya sekitar 10 saat hingga tiga minit, pendekatan digunakan tetap memberi kesan besar kepada tumbesaran bayi.
"Kalau tujuan hanya untuk flash, flash, flash depan mata bayi, saya tak akan buat. Sebaliknya, saya banyakkan interaksi seperti bercakap dan menunjukkan ekspresi muka kepada bayi secara berdepan, itu jauh lebih bermakna," ujarnya.
Tambahnya, penggunaan 'flash card' secara berlebihan boleh menyebabkan bayi hilang fokus terhadap manusia di sekeliling dan menjadi terlalu tertarik kepada imej statik.
Lemah 'eye contact'
Mengakui tumpuan bayi akan terarah kepada tarikan warna pada kad digunakan, namun ia sekadar berfungsi untuk mengalihkan perhatian tanpa sebarang kebaikan terhadap deria mata mereka.
"Saya pernah lihat sendiri beberapa bayi yang kerap diperkenalkan dengan flash card akhirnya mengalami kelemahan dalam membuat eye contact.
"Mereka menjadi terlalu taksub dengan kad bergambar itu dan kurang memberi respon kepada ekspresi manusia," katanya.
Tanda awal autisme
Tegas menyatakan ia sebagai salah satu komponen penting dalam perkembangan sosial dan emosi bayi, ia juga merupakan indikator awal yang boleh membantu dalam pengesanan spektrum autisme.
"Ketiadaan eye contact yang kukuh merupakan antara tanda awal anak dalam spektrum autisme sebab itu, saya amat menitik beratkan stimulasi deria penglihatan yang betul iaitu melalui hubungan mata antara bayi dan ibu bapa," jelasnya.
Mengutamakan komunikasi dua hala antara bayi dan ibu bapa, usaha untuk bercakap dengan mereka lebih memadai untuk membantu kemahiran dan fahaman terhadap sesuatu arahan peringkat awal.
Alternatif terbaik
Sebagai alternatif kepada flash card, Liyana menyarankan ibu bapa untuk menggunakan buku fizikal dan bermain bersama bayi dalam suasana yang lebih santai serta menyeronokkan.
"Saya suka rangsang bayi dengan sentuhan, biar mereka pegang dan lihat buku sambil saya bercerita.
"Contohnya, saya akan kata 'Ini bear... ini butterfly... butterfly... butterfly...', sambil membuat ekspresi muka yang menarik perhatian bayi.
"Ia bukan hanya bantu perkembangan bahasa, tapi juga eye contact dan pemahaman emosi bayi walaupun mereka tiada tindak balas sekali pun," katanya.
Mengutamakan kaedah interaksi melebihi segala-galanya, pembelajaran serta pengetahuan si kecil menurutnya lebih mudah terbentuk melalui panduan ibu bapa berbanding alternatif lain.
"Yang paling penting bukan apa yang kita tunjuk pada bayi, tetapi bagaimana kita berinteraksi dengan mereka kerana anak belajar dari kita, bukan melalui kad," tambahnya mengakhiri perkongsian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram