
PASANGAN suami isteri yang sedang merancang kehamilan buat kali pertama mungkin belum cakna tentang kaedah perancangan jantina anak.
Tidak dinafikan rezeki zuriat merupakan pemberian tidak ternilai dari sang pencipta namun, kajian saintifik membuktikan ia mampu dirancang jika bertepatan dengan kaedahnya.
Hangat diperkatakan di laman sosial kebelakangan ini, isu tersebut dijelaskan seorang warga maya yang berkongsi beberapa kaedah perancangan jantina bayi.
BACA LAGI: Kakak Anzalna, Diana Nasir, kongsi rezeki buat 'give away' barang bayi kepada ibu bapa memerlukan
BACA LAGI: [VIDEO] Bella Astillah pamer tarian etnik Sabah, Sarawak, gerak lenggok Syed Saddiq mencuit hati
Dalam pada itu, pakar obstetrik dan ginekologi serta pelopor dalam bidang persenyawaan in vitro (IVF), Dr. Landrum Shettles pada 1960-an merungkai hal itu menerusi kaedah 'Shettles'.
Menurutnya, semasa hubungan kelamin, posisi semasa hubungan kelamin dan waktu orgasme boleh mempengaruhi faktor pasangan untuk mendapatkan anak lelaki atau perempuan.
Bagaimana jantina bayi ditentukan?
Jantina bayi secara biologi ditentukan oleh kromosom.
Menurut Dr. Emelia Bachman, ahli endokrinologi reproduktif di Institut Perubatan Reproduktif Delaware, wanita secara biologi mempunyai dua kromosom X (XX), manakala lelaki mempunyai satu kromosom X dan satu kromosom Y (XY).
"Jika sperma yang membawa kromosom X menyuburkan telur, bayi perempuan akan terbentuk, manakala sekiranya sperma yang membawa kromosom Y menyuburkan telur, maka bayi lelaki akan terhasil," jelasnya.
Paparan jelas mengenai kromosom lelaki dan perempuan. — Gambar hiasan/Agensi
Dalam bukunya How to Choose the Sex of Your Baby, Dr. Shettles mendakwa kaedah itu mempunyai kadar kejayaan hingga 75 peratus.
Panduan untuk bayi lelaki
Kaedah Shettles mencadangkan hubungan kelamin dilakukan serapat mungkin dengan waktu ovulasi, termasuk pada hari ovulasi itu sendiri dan dua hingga tiga hari selepasnya.
Penembusan mendalam digalakkan untuk membantu sperma Y (yang dikatakan lebih pantas) sampai ke telur lebih cepat.
Wanita juga digalakkan untuk mencapai orgasme terlebih dahulu bagi menghasilkan persekitaran beralkali yang didakwa lebih menyokong sperma Y.
Panduan bayi perempuan
Untuk mendapatkan anak perempuan, kaedah Shettles mencadangkan agar hubungan kelamin dilakukan tiga hari sebelum ovulasi.
Tempoh itu membolehkan sperma Y mati terlebih dahulu, meninggalkan sperma X untuk menyuburkan telur.
Wanita juga digalakkan untuk tidak mencapai orgasme bagi mengekalkan persekitaran faraj yang lebih berasid yang dipercayai memberi kelebihan kepada sperma X.
Pun begitu, dalam dunia perubatan moden masa kini, teknologi rawatan seperti IVF memberi solusi lebih kukuh dalam pemilihan jantina bayi.
Kesimpulannya, keinginan untuk memilih jantina bayi adalah sesuatu yang wajar dan difahami, terutama dalam kalangan pasangan yang merancang legasi keluarganya.
Namun, kaedah seperti Shettles harus dilihat sebagai usaha berdasarkan teori saintifik yang berupaya membantu dalam perancangan jantina anak.
Pun begitu, pasangan disarankan untuk berbincang dengan pakar perubatan bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan pendekatan lebih realistik demi kesihatan ibu dan bayi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram