Dulu pakai hanya ke majlis ilmu agama, kini Nora Danish semakin serasi, selesa berjubah setiap masa


  • Gaya
  • Sabtu, 31 Mei 2025

Nora kini selesa mengenakan variasi abaya yang turut dipratikkan mix and match dalam penggayaan hariannya. — Instagram/noradanish

PELAKON popular, Nora Danish meluahkan rasa syukur apabila mendapati semakin banyak pilihan fesyen sopan dan menepati syariah yang cantik dan moden, khususnya selepas beliau berhijab.

Menurut Nora, perkembangan positif dalam dunia fesyen Muslimah hari ini memudahkan golongan wanita yang mahu tampil bergaya, sopan dan menutup aurat pada masa sama.

"Saya sangat bersyukur kerana ketika berhijrah, banyak pilihan koleksi pakaian yang menutup aurat dan cantik-cantik.

"Bukan hanya dipakai ketika kelas mengaji atau hari raya, tetapi juga praktikal untuk digayakan sebagai pakaian harian, ke majlis dan melancong," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Amber Abaya Oasis di Kuala Lumpur pada Rabu.

BACA LAGI: Nora Danish, Amira, Amyra wajah Amber Oasis Abaya, terhad 500 unit setiap rekaan

BACA LAGI: Adzliana enggan 'goyang kaki' kerana bisnes bapa, sentiasa bermurah hati kongsi ilmu perniagaan dengan usahawan wanita

Menurut Nora, trend abaya dalam kalangan generasi muda kini lebih pelbagai dan moden, sekali gus menjadikannya pilihan fesyen yang relevan.

Dalam majlis tersebut, pemilik nama lengkap Nora Mohd Danish Hanif, 42, itu turut menggayakan salah satu koleksi Abaya Oasis yang disifatkannya sangat selesa dan sesuai digayakan untuk pelbagai acara.

"Amber mempersembahkan koleksi Abaya Oasis dengan sentuhan moden yang menawan dalam setiap helaian. Direka untuk setiap wanita yang menghargai kelembutan, keanggunan dan kekuatan dalam penampilan.

"Materialnya sangat premium, jadi selesa untuk dipakai walau ke mana sahaja," tambahnya yang turut mengenakan abaya ketika percutiannya di Bali, Indonesia baru-baru ini.

Mengimbas kembali detik sebelum penghijrahannya, ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui sebelum ini beliau hanya memakai abaya untuk acara keagamaan atau majlis kematian. 

Namun kini, pandangannya terhadap busana tersebut sudah berubah sepenuhnya.

Mengulas lanjut mengenai trend abaya dalam kalangan generasi muda, Nora berpendapat rekaan abaya kini lebih pelbagai dan moden, sekali gus menjadikannya pilihan fesyen yang relevan dan memikat pelbagai lapisan usia.

"Saya lihat semakin ramai orang faham tentang kecantikan dan kualiti abaya. 

"Ia bukan lagi busana yang dianggap ketinggalan, sebaliknya menyerlahkan keayuan dan keanggunan si pemakai," ujar Nora yang turut memuji keberanian pereka tempatan memperkenalkan variasi fesyen abaya segar dan bergaya.

Untuk rekod, Nora bersama dua lagi selebriti wanita, Amira Othman dan Amyra Rosli dilantik menjadi duta rasmi koleksi Amber Abaya Oasis. 

Tiga figura berkenaan bukan sahaja sinonim dengan kejelitaan dan pengaruh mereka, tetapi juga mencerminkan nilai-nilai gaya hidup Muslimah kontemporari yang menjadi aspirasi ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram