Sempat susukan bayi 3 kali ketika dalam perlumbaan, peguam juara cabaran ultra maraton


  • Bonda
  • Sabtu, 31 Mei 2025

Case muncul sebagai juara kategori wanita dalam perlumbaan Ultra-Trail Snowdonia baru-baru ini. — Instagram/theultrarunnergirl

SEORANG pelari wanita mencipta sejarah tersendiri apabila berhenti tiga kali untuk menyusukan bayi perempuannya yang berusia enam bulan dalam perlumbaan ultra maraton sejauh 100 kilometer (km).

Berjaya mengatasi lebih 60 peserta wanita lain, Stephanie Case, 42, mengejutkan semua pihak dengan muncul sebagai juara kategori wanita.

Walaupun memulakan larian 30 minit selepas kumpulan elit, beliau menamatkan perlumbaan Ultra-Trail Snowdonia di utara Wales yang terkenal dengan laluan mencabar.

Lebih mengagumkan, peguam hak asasi manusia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyusukan bayinya, Pepper di tiga lokasi pemeriksaan iaitu pada jarak 20km, 50km dan 80km, tanpa sebarang bantuan teknikal sepanjang pertemuan itu.

BACA LAGI: Niat awal berlari nak kuruskan badan lepas bersalin, ibu anak 3 tak sangka kini jadi pelari maraton ultra

BACA LAGI: Catat rekod 53.72 saat, Shereen raih emas acara 400 meter di Amerika Syarikat

Simbol kekuatan

Kemenangan Case mencuri perhatian ramai dan gambarnya tular di media sosial sebagai simbol kekuatan seorang ibu moden.

Dalam wawancara bersama National Public Radio (NPR), beliau berkata, maklum balas yang diterima sangat menggalakkan dan membuktikan bahawa peranan sebagai ibu dan atlet boleh berjalan seiring.

“Wanita tak perlu kehilangan diri hanya kerana bergelar ibu. Kita tetap boleh terus menetapkan impian besar,” katanya yang berasal dari Kanada dan kini menetap di Chamonix, Perancis.

Bagi Case, kejayaannya bukan sekadar soal mental dan stamina, tetapi juga berkait rapat dengan pemakanan dan perancangan rapi.

Menurutnya, sejak awal latihan lagi, beliau memastikan bekalan susu badannya tidak terjejas.

“Saya rasa saya makan sepanjang masa! Namun menjadi ibu sebenarnya menjadikan diri ini lebih efisien dalam latihan dan strategi pemakanan,” katanya.

Akui Case menjadi ibu membuatkan dirinya lebih efisien dalam latihan dan strategi pemakanan. — Instagram/theultrarunnergirl

Sepanjang perlumbaan, beliau mengambil antara 80 hingga 100 gram karbohidrat setiap jam, sebelum mengurangkannya pada jarak 65km akibat rasa loya dan kembali meningkatkan pengambilan tenaga menjelang 95km.

Ultra-Trail Snowdonia bukan perlumbaan biasa. Laluan sepanjang 100km itu merentasi kawasan berbatu, berlumpur dan mendaki puncak tertinggi di Wales, Gunung Snowdon, dengan ketinggian terkumpul mencecah 6,500 meter.

“Ada bahagian yang terasa seperti memanjat dinding batu menegak.

“Ia sangat teknikal dan memerlukan kekuatan fizikal serta tumpuan penuh,” kongsinya.

Case menamatkan perlumbaan dalam masa 16 jam 53 minit, tanpa mengetahui kedudukannya sehinggalah keputusan rasmi diumumkan berdasarkan cip penjejakan.

Case berkata, kehilangan larian ibarat 'hilang' sebahagian identitinya. — Instagram/theultrarunnergirl

Keguguran

Kemenangan itu menjadi penutup indah kepada perjalanan hampir tiga tahun Case yang penuh emosi.

Selepas meraih tempat kedua dalam Hardrock 100 di Colorado pada 2022, beliau mengalami dua keguguran yang menjejaskan keyakinan dirinya terhadap dunia larian.

“Orang mempersoalkan sama ada larian menyebabkan saya gugur. Tiada bukti saintifik, tapi keraguan tersebut tetap melekat,” katanya.

Case mengakui kehilangan larian ibarat kehilangan sebahagian identitinya.

Namun selepas berjaya hamil melalui rawatan persenyawaan tabung uji (IVF), beliau kembali ke landasan perlahan-lahan, bermula daripada trimester kedua kandungan.

“Bahkan pada minggu ke-39 kehamilan, saya tetap tidak mampu tenang. Selepas lalui keguguran, anda tidak percaya apa-apa sehinggalah benar-benar dapat melihat bayi di depan mata,” luahnya.

Case yang kini dalam tempoh cuti bersalin daripada tugasnya turut menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Free to Run, yang memperkasa gadis dan wanita muda di kawasan konflik menerusi aktiviti luar dan sukan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram