Ramai masih 'buta hati', wanita hamil terpaksa berdiri dalam LRT


  • Tular
  • Jumaat, 24 Jun 2022

Wanita itu berharap agar semua penumpang sentiasa memberi keutamaan tempat duduk terutamanya bagi wanita mengandung. — TikTok

UMUM sedia maklum antara golongan yang harus diberi perhatian dan disantuni ketika menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan tren adalah warga emas, ibu hamil, kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU).

Sikap ketidakpedulian membuatkan golongan ini terpaksa mengalah dan berdiri sambil berpaut pada tiang sehingga sampai ke destinasi seperti yang dialami oleh seorang ibu hamil.

Menerusi video tular yang dikongsikan oleh @ohroseeeee di laman aplikasi TikTok, kelihatan seorang wanita hamil sedang menaiki tren pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT).

Wanita hamil itu berasa kecewa apabila tidak diberikan tempat duduk ketika menaiki tren pengangkutan awam LRT walaupun dia sudah melekatkan tag mengandung pada beg miliknya supaya ramai ambil maklum akan situasinya yang sedang sarat.

Orang ramai memberikan pelbagai komen dan ada juga mengkritik tindakan segelintir pengguna yang mementingkan diri sendiri. — TikTok

Di ruangan kapsyen video, wanita itu berharap agar semua penumpang sentiasa memberi keutamaan tempat duduk terutamanya bagi wanita mengandung serta warga emas yang menggunakan pengangkutan awam.

"Bila duduk 'priority seat' kena 'aware' dengan 'surrounding', jangan 'ignorance' sangat, penat hari-hari nak minta tempat duduk''. Ada 'pregnant tag', perut besar pun mereka buat tak nampak," luahnya.

Menjengah ke ruangan komen video berdurasi 11 saat yang dikongsi wanita itu di TikTok, orang ramai memberikan pelbagai reaksi dan ada juga mengkritik tindakan segelintir pengguna yang mementingkan diri sendiri.

"Aku kalau nampak orang mengandung lepas itu orang buat tak tahu, dekat tempat itu juga kena jerit dengan aku," ujar @Thelitterireen.

"Penat tahu tak mengandung, kaki bengkak sakit. Perut mengah, pinggang sakit lepas itu badan semua rasa lenguh-lenguh. Kalau ada yang bagi tempat duduk memang saya menangis sebab rasa bersyukur," jelas @Dhiraazmi.

"Bukan pengangkutan awam sahaja, dekat klinik atau hospital ramai suami yang teman isteri mengandung duduk penuhkan kerusi sambil main telefon," kata @Thenai78.

"Zaman sekarang orang dah tak peduli mengandung atau orang tua. Dia buat tak tahu sahaja," tulis @Mokhsin144.

Tambahnya lagi, dia berharap agar pihak pengurusan sentiasa membuat pengumuman di dalam ruangan pengangkutan awam supaya pengguna sentiasa peka tentang tempat duduk khas bagi golongan warga emas, ibu hamil, kanak-kanak dan OKU.

Sehingga kini, video tersebut meraih lebih 217,100 tontonan dan 16,200 tanda suka di TikTok. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram