SELEPAS pandemik Covid-19, bilangan pendaki dalam kalangan warga emas di Sibu, Sarawak meningkat sekali gus membuktikan umur hanyalah sekadar angka.
Kong Kok Siong, 50, mencabar dirinya melalui larian Ball Breaker sejauh 50 kilometer (km). Pengusaha kedai jam tangan itu juga mendapat kenalan baharu dalam lingkungan usia yang sama melalui aktiviti tersebut.
“Sesetengah orang menganggap warga emas perlu mengelakkan diri daripada mendaki kerana dikhuatiri akan mengalami sakit lutut.
Kong melakukan aktiviti joging dan mendaki beberapa kali seminggu.
“Namun pendapat itu agak subjektif, kerana seseorang itu boleh mengelak daripada mengalami sakit lutut dengan mengambil beberapa langkah seperti pengambilan kalsium yang mencukupi, berjalan dengan santai ketika mendaki dan berehat apabila penat," ujarnya.
Kong juga menggalakkan pendaki menggunakan tongkat mendaki untuk keseimbangan yang lebih baik sekali gus mengurangkan tekanan pada lutut.
Apa yang lebih ironi, dia tidak pernah menyertai sebarang acara sukan semasa zaman persekolahannya.
Dia hanya mula berjoging lapan tahun lalu untuk menurunkan berat badan yang ketika itu mencecah 86kg sebelum susut kepada 72kg selepas mula mendaki.
“Saya berjoging tiga kali seminggu dan mendaki dua kali. Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya menyertai maraton penuh di Kuching dan luar negeri.
“Sehingga kini, saya telah melakukan tujuh maraton penuh dan ada lagi yang akan datang,” katanya.
Kong mendapat tempat ke-10 menerusi kategori veteran 7km menerusi acara dakian pertama, Kemuyang Nature Challenge yang berlangsung pada Disember tahun lalu.
Dia kemudiannya menyertai Larian Kampung Bobak sejauh 25km di Kuching dan menamatkan lariannya dengan catatan masa enam jam 58 minit.
Selain itu, lariannya pada Silabur Ultra Trail sejauh 50km di Matang, Kuching berjaya mendapat tempat keenam dalam tempoh sembilan jam.
Melalui pengalaman mendaki yang kompetitif itu, Kong yang cergas dari segi fizikal berpeluang mengambil bahagian dalam Borneo Ultra Blue Trail sejauh 50km di Padawan, Kuching, pada 6 Julai lalu.
Dalam perlumbaan berkenaan, mental dan fizikal pelari diuji dengan meredah kawasan hutan, jalan bermotor, dan laluan berbuluh.
Turut menyertai Kong ialah 15 rakan sepasukannya dari Permai Trail and Running Club yang kebanyakan daripada mereka menyertai larian sejauh 30km.
Dia membuat persediaan semua barangan keperluan termasuk jaket penghidratan, lampu suluh kepala, kasut mendaki, tablet elektrolit, garam penghidratan, simpanan air minuman tambahan, kurma dan tongkat mendaki.
Perlumbaan yang bermula pada pukul 6 pagi itu berjaya ditamatkan di tempat ketiga dalam masa 12 jam.
“Kami mendapat kepuasan kerana dapat bersaing dan mencabar diri sendiri. Ia juga menyeronokkan,” katanya.
Bagi umum yang ingin mencuba aktiviti itu atau menyertai mana-mana pertandingan, Kong menasihati untuk memastikan mereka sihat dari segi fizikal.
Menurutnya, dia kerap membuat pemeriksaan kesihatan setahun sekali bagi memastikan dia betul-betul bersedia sebelum menyertai mana-mana perlumbaan. — The Star/ANDY CHUA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram