SUKAN larian makin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia merupakan aktiviti yang baik untuk menjaga kesihatan selepas masa banyak dihabiskan dengan kerja di pejabat.
Jika orang kebanyakan rata-ratanya banyak menyertai maraton separuh atau maraton sebagai pilihan namun ada juga sebilangan kecil memilih larian denai (trail) sebagai aktiviti mengisi masa lapang.
Larian denai antara yang menyeronokkan bagi mereka yang mahukan sedikit cabaran sambil menikmati alam semula jadi ekoran ia membabitkan berlari di dalam hutan, ladang kelapa sawit, berhampiran sungai, pendakian bukit dan sebagainya.
BACA LAGI: Miliki infrastruktur, padang bola sepak terbaik di negara, Johor anjur bola sepak Sukan SEA 2027
Peserta larian denai lebih berpengalaman dalam larian professional atau berilmu mengenainya kerana ia bukan sahaja memerlukan kudrat tetapi kebijakan mengendali setiap cabaran kerana mungkin berdepan jalan berbatu, berbukit, cerun atau berlumpur.
Bercakap mengenai atlet tanah air yang baru sahaja mengharumkan nama Malaysia dalam sukan tersebut, pasti pengikut larian denai mengenali Halimatun Saaadiah apabila dia baru sahaja mencipta nama di bumi Chiang Mai, Thailand pada Sabtu.
Menerusi perkongsian dari laman Facebook, twtmarathon, pelari wanita berusia 30 tahun itu baru sahaja menamatkan Hmong 50 kilometer (km) Hoka Chiang Mai Thailand yang dianjurkan oleh Ultra-Trail du Mont-Blanc (UTMB).
Apa yang membanggakan apabila Halimatun tiba di garisan penamat dengan mengibarkan jalur gemilang. Ia bukan hanya sebagai simbolik semangat cintakan negara, malah juga memberi inspirasi kepada orang lain khususnya wanita untuk mencabar diri.
Untuk rekod, tahun ini Halimatun sudah menyertai lapan larian denai dan antaranya ialah Malaysia Ultra-Trail UTMB 2024 (100km), Taman Negara Ultra TNU50 (50km) dan Trans Jeju UTMB 2024 (50km). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram