
ORGANISASI tinju dunia (World Boxing) mengarahkan juara Olimpik, Imane Khelif, 26, untuk menjalani ujian pengesahan jantina sebelum menyertai sebarang kejohanan akan datang.
Turut mewajibkan ia ke atas setiap atlet tinju sedunia, badan induk itu secara khusus merujuk kepada peninju kelahiran Algeria berkenaan yang perlu ditapis jantinanya sebelum kembali mewakili negara.
“Pengenalan ujian mandatori akan menjadi sebahagian daripada dasar baharu mengenai 'Jantina, Umur dan Berat' untuk memastikan keselamatan semua peserta serta persaingan adil buat atlet," kata World Boxing dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI: Diberi penghormatan kedutaan UAE, gadis Nepal diiktiraf miliki tulisan tangan tercantik dunia
BACA LAGI: Saksi pelancaran LIMA 25 dari udara, Ahirine kongsi pengalaman selaku media rasmi TLDM
Terdahulu, jantina Imane menjadi pertikaian ramai usai memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris musim panas lalu.
Didakwa menipu soal jantina pada kejohanan dunia tersebut, badan induk tinju Olimpik sebelum ini iaitu Persatuan Tinju Antarabangsa melucutkan penyertaan petinju itu selepas gagal dalam ujian di peringkat kelayakan dunia sebelumnya.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tampil mempertahankan Khelif dan menggunakan keputusan ujian dilakukan pada sukan Olimpik terdahulu yang melayakkan atlet berkenaan beraksi pada kejohanan tersebut.
Terbaharu, Imane berhasrat kembali ke pertandingan antarabangsa bulan depan di Eindhoven, Belanda sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk mempertahankan pingat emasnya di Sukan Olimpik Los Angeles kelak.
Ujian kromosom adalah perkara biasa dalam sukan Olimpik pada abad ke-20, tetapi sebahagian besarnya telah ditinggalkan pada 1990-an kerana banyak spekulasi tidak dapat dipastikan menerusi kaedah tersebut.
Tiga bulan lalu, World Athletics yang merupakan sebuah badan induk sukan trek dan padang menjadi organisasi pertama memperkenalkan semula ujian kromosom.
Kini, World Boxing telah diluluskan sementara untuk menggantikan Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) sebagai badan induk pada Olimpik Los Angeles namun, hal itu ditentang kuat oleh sebahagian peninju dari serata dunia.
World Boxing mengumumkan bahawa semua atlet berusia lebih 18 tahun mesti menjalani ujian genetik tindak balas rantai polimerase (PCR) bagi menentukan jantina mereka semasa lahir.
Ujian PCR mampu mengesan bahan kromosom melalui sapuan mulut, air liur atau darah.
Jika seseorang atlet itu mahu bersaing dalam kategori wanita, pemeriksaan awal akan dirujuk kepada pakar klinikal bebas bagi pemeriksaan genetik, profil hormon, pemeriksaan anatomi atau penilaian lain profil endokrin oleh pakar perubatan.
Keputusan badan tinju itu adalah perkembangan terkini dalam tempoh sukar dialami oleh pihak majlis Olimpik sedunia baru-baru ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram