'Dia bagaikan pahlawan', ibu titip doa, Fatimah 'The Family UK' terus sabar, kuat lawan penyakit usia muda


  • Bonda
  • Sabtu, 31 Mei 2025

Ibu menyifatkan Fatimah seorang yang tabah dan kuat walaupun diuji kondisi kesihatan pada usia sangat muda.

TAHAP kesihatan personaliti media sosial, Fatimah 'The Family UK' kembali menjadi perhatian selepas perkongsian baharu daripada ibunya, Nor Ashila Mahamed Ismail, 44, di Instagram pada Jumaat.

Fatimah, 11, difahamkan kurang sihat dek mengalami penyakit kronik kini masih kuat berjuang walaupun terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan di hospital.

Difahamkan juga sehingga hari ini belum dapat dipastikan ekoran kesemua ujian biopsi dijalankan tidak menunjukkan sebarang simptom penyakit.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tak sayang badan ke?', isteri Fizo Omar mohon jaga sensitiviti wanita, syukur suami beri sokongan

BACA LAGI: Diberi penghormatan kedutaan UAE, gadis Nepal diiktiraf miliki tulisan tangan tercantik dunia

Fatimah kini masih kuat menjalani rawatan dan pemeriksaan berkala di hospital sejak beberapa tahun lalu. — Instagram/thefamily.uk

Pun begitu, sokongan keluarga dan doa ibu sentiasa mengiringi si cilik itu yang dahulunya pernah tular kerana kepetahannya bercakap loghat Kelantan.

Menyifatkan anak perempuannya sebagai seorang yang tabah, Nor Ashila amat mengagumi kekuatan dimilikinya walaupun diuji pada usia sangat muda.

"Dengan linangan air mata dan iman, Alhamdulillah untuk anak perempuan saya yang kuat, Fatimah, pahlawan saya berani melawan penyakit kronik dengan keberanian melampaui usianya.

"Ketabahannya adalah tanda dari ALLAH bahawa kekuatan boleh diubati dalam bentuk yang paling halus. Dia mengajar kita setiap hari bahawa kesabaran dan ketabahan adalah ibadah.

"Setiap lawatan ke hospital, setiap ubat-ubatan, setiap hari yang penuh dengan kesakitan dan tiada satu pun tidak disedari oleh ALLAH.

"Dia mengajar kita erti sabar dan jenis iman yang tidak goyah walaupun badan lemah, melaluinya, kita menyaksikan keajaiban ketabahan, belas kasihan serta cinta," tulisnya.

Dalam pada itu, Nor Ashila sentiasa bersyukur kerana dikurniakan suami dan keluarga yang sentiasa memahami satu sama lain.

Jelasnya, setiap satu daripadanya memainkan peranan sangat besar terutamanya suami dan anak sulung yang disifatkan tulang belakang dalam keluarga.

"Alhamdulillah untuk suami saya, si bapa yang berdiri di sisi saya dengan kekuatan dan tabah, dia memikul beban serta tanggungjawab yang sering tidak terucap, namun kehadirannya adalah ketenangan bagi saya.

"Cinta dan pengorbanannya adalah perkara yang saya impikan tidak pernah saya anggap remeh, melalui dia, saya belajar apa erti memberi, memimpin dan bersandar pada seseorang yang amanah.

"Untuk anak sulung saya, @theomarmukhtar yang telah memikul tanggungjawab dengan penuh rahmat, kekuatan dan kematangannya mencerminkan hati yang dipandu oleh kasih sayang," ujarnya.

Terdahulu, tahap kesihatan Fatimah turut dibincangkan di peringkat antarabangsa dan dirujuk ke pelbagai pakar perubatan demi mengetahui penyakit dihadapi.

Telah menjalani lebih 10 prosedur rawatan sejak Mac 2024, keputusan ujian genetik dilakukan menunjukkan jawapan negatif terhadap faktor keturunan bagi penyakit kanser.

Sentiasa berkongsi perkembangan terkini anaknya di laman Instagram, Nor Ashila mengharapkan doa dan keajaiban daripada tuhan agar anaknya kembali pulih seperti sediakala. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram