
MODEL berusia 21 tahun dari Jalandhar, Rachel Gupta yang mencipta sejarah sebagai wanita India pertama dinobatkan Miss Grand International 2024 mencuri tumpuan selepas melepaskan gelaran tersebut baru-baru ini.
Membuat pengumuman mengejut itu menerusi laman Instagram miliknya, Rachel menyatakan tindakannya disebabkan oleh janji yang dimungkiri, penganiayaan dan persekitaran yang toksik usai bergelar ratu cantik.
Memuat naik sebuah video di saluran YouTube bertajuk 'The Truth about Miss Grand International — My Story', Rachel tampil mendedahkan pelbagai dakwaan serius terhadap organisasi penganjur pertandingan berprestij berkenaan.
BACA LAGI: Sihat atau tidak? Panduan ibu bapa kenal pasti jenis muntah bayi berdasarkan warna
BACA LAGI: Penting demi kesejahteraan si manja, 5 panduan ibu bapa mandikan bayi mengikut usia
"Terus terang, mereka tidak kisah sama ada saya hidup atau mati, asalkan saya kekal tersenyum di pentas mereka dan mengekalkan bentuk badan yang sangat ideal seperti dimahukan," katanya.
Tambahan itu, Rachel turut mendakwa pihak penganjur memaksa para pemenang menjual produk murahan menerusi siaran langsung TikTok yang menurutnya telah menjatuhkan maruah para peserta.
"Kami datang dari negara masing-masing dengan kerjaya yang dihormati, tetapi dipaksa menjual produk yang murah demi keuntungan," katanya lagi.
Lebih mengejutkan, Rachel turut mendakwa menjadi mangsa perlecehan fizikal dan penghinaan terhadap tubuh badannya.
"Saya masih ingat wakil mereka datang kepada saya dan mencubit bahagian tubuh saya sambil berpesan, saya perlu menurunkan berat badan.
"Ia sangat memalukan," katanya sambil menyuarakan kesukaran untuk menjaga bentuk badan dalam situasi serba kekurangan dan terkurung.
Bagaimanapun, pihak Miss Grand International menafikan semua tuduhan tersebut dan mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi Instagram.
Jelasnya, gelaran Rachel telah dibatalkan dan mahkota itu perlu dikembalikan kepada ibu pejabat MGI dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis.
Menurut mereka, keputusan itu dibuat atas alasan kegagalan Rachel untuk memenuhi tugas yang diberikan, penglibatan dalam projek luar tanpa kelulusan organisasi serta keengganannya untuk menyertai lawatan rasmi ke Guatemala.
"Rachel Gupta tidak lagi diberi kuasa untuk menggunakan gelaran itu atau memakai mahkota yang dikaitkan dengan Miss Grand International 2024," katanya menerusi kenyataan.
Kontroversi ini mencetuskan perdebatan luas dalam kalangan warga maya dan pemerhati industri ratu cantik antarabangsa.
Ramai yang menyuarakan sokongan kepada Rachel atas keberaniannya mendedahkan pengalaman pahit yang dilaluinya, manakala segelintir mempertikaikan keputusan tergesa-gesa pihak penganjur.
Situasi itu sekali gus membuka perbincangan mengenai tekanan mental, eksploitasi dan standard kecantikan dalam industri pertandingan ratu cantik sedunia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram