
DALAM dunia yang semakin sedar tentang kepelbagaian keperluan pembangunan kanak-kanak, beberapa negara maju tampil ke hadapan dengan dasar, teknologi dan pendekatan pendidikan yang progresif bagi menyokong kanak-kanak menghidap gangguan spektrum autisme (ASD).
Menjadi contoh teladan dalam membentuk sistem sokongan yang menyeluruh merangkumi pendidikan inklusif dan intervensi awal, usaha dijalankan bertujuan membantu kanak-kanak autisme mencapai potensi mereka di tahap maksimum.
Tanpa diskriminasi pada masyarakat, kebanyakan negara kini menawarkan bermacam-macam fasiliti untuk golongan khusus yang memerlukan antaranya autisme.
Berikut tiga negara mesra untuk kanak-kanak autistik:
1. Dubai
Dubai terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negara berstatus elit apabila diumumkan sebagai destinasi autisme bertauliah pertama di Hemisfera Timur.
Pencapaian itu dianugerahkan Lembaga Antarabangsa Pensijilan dan Standard Pendidikan Berterusan (IBCCES), selepas siri latihan dan inisiatif infrastruktur yang berpanjangan dilancarkan oleh Jabatan Ekonomi dan Pelancongan Dubai.
Terkenal dengan kepakaran dalam autisme dan latihan deria peringkat global, IBCCES menganugerahkan penghargaan itu susulan program latihan staf menyeluruh dijalankan, sokongan pelawat tambahan, pengenalan panduan deria dan lanyard khas oleh negara Timur tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Kongsi perjuangan ibu menyusu, Tya Arifin bawa stok susu badan terbang ke Malaysia
BACA LAGI: Sihat atau tidak? Panduan ibu bapa kenal pasti jenis muntah bayi berdasarkan warna
Pencapaian itu sejajar dengan keutamaan Agenda Ekonomi Dubai D33 yang mengutamakan kenaikan ekonomi Dubai menjelang 2033 dengan menjadikannya salah satu daripada tiga bandar teratas dunia untuk hidup, melabur dan bekerja.
IBCCES mengiktiraf Dubai sebagai destinasi autisme bertauliah pertama di Hemisfera Timur. — Agensi
Sementara itu, Pengerusi IBCCES, Myron Pincomb turut memuji langkah diambil Dubai dalam meningkatkan fasiliti serta akses pelancongan negara tersebut.
"Dubai membuktikan mereka memiliki sistem pelancongan mudah diakses dan IBCCES berbesar hati untuk menyokong inisiatif tersebut.
"Pencapaian ini mewakili langkah penting dalam memastikan semua pengunjung, termasuk individu autistik dan yang mempunyai masalah deria, dapat meneroka segala yang Dubai tawarkan dengan mudah," katanya.
Emirates syarikat penerbangan autisme pertama dunia
Terdahulu, syarikat berpangkalan di Dubai iaitu Emirates telah diiktiraf sebagai Austism Certified Airline (ACA) yang pertama di dunia.
Menaik taraf kualiti dan perkhidmatan mesra autisme, seramai 30,000 kru kabin penerbangan itu menjalani latihan merangkumi maklumat spektrum dan simptom autisme yang diwajibkan untuk setiap anak kapal.
Dalam usaha menyokong keperluan penumpang berkeperluan khas, syarikat penerbangan Emirates memperkenalkan beberapa inisiatif mesra autisme yang menjadikan pengalaman perjalanan udara lebih selesa dan inklusif.
Working to make travel more accessible for all - we are about to officially become the world’s first Autism Certified Airline™! https://t.co/xBKFaZlMpX pic.twitter.com/kCr6GcIYGU
— Emirates (@emirates) January 8, 2025
Antara kemudahan baharu diperkenalkan pada 2025 termasuk panduan deria digital, yang memberikan maklumat kepada penumpang tentang suasana di dalam pesawat.
Ia merangkumi tahap bunyi, pencahayaan dan bau yang mungkin dialami sebagai salah satu ciri penting bagi individu berdepan spektrum autisme yang sangat peka terhadap rangsangan deria.
Selain itu, Emirates juga memperkenalkan produk deria kepelbagaian saraf dalam penerbangan seperti fidget toys, iaitu alat yang boleh membantu penumpang menyalurkan rasa cemas sepanjang penerbangan.
Dubai tawar saringan autisme percuma
Dubai terus memperkukuh komitmennya terhadap komuniti neurodiverse dengan menawarkan saringan autisme percuma kepada kanak-kanak, sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Autisme Dubai (DAC).
Kempen itu yang memasuki tahun ke-19 pada 2025, dilancarkan di bawah naungan Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan Mohammed Rashid Al Maktoum sekitar April lalu.
Ia menyediakan sesi saringan awal dan penilaian komprehensif secara percuma kepada kanak-kanak yang disyaki mengalami gangguan spektrum autisme (ASD) dan gangguan perkembangan lain.
Langkah tersebut menekankan dedikasi Dubai untuk mewujudkan persekitaran yang inklusif bagi individu autisme.
2. Sweden
Sweden terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negara paling progresif dan mesra autisme di dunia menerusi pelbagai inisiatif menyeluruh dalam pendidikan, kesihatan serta sokongan sosial buat kanak-kanak autisme.
Dengan pendekatan inklusif menjadi teras dasar pendidikan negara itu, setiap kanak-kanak termasuk yang berkeperluan khas, berhak mendapat akses pendidikan percuma dan berkualiti tinggi.
Kanak-kanak autisme di Sweden diberikan Pelan Pendidikan Individu (IEP) yang disesuaikan mengikut keperluan perkembangan mereka, serta dibantu oleh guru pendidikan khas dan pembantu profesional di sekolah.
Sweden menerusi Pelan Pendidikan Individu (IEP) membantu perkembangan kanak-kanak autisme. — Gambar hiasan/Agensi
Program intervensi dibiayai kerajaan
Sweden juga terkenal dengan pelaksanaan program intervensi awal secara meluas dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
Perkhidmatan seperti terapi pertuturan, terapi pekerjaan dan Applied Behaviour Analysis (ABA) diberikan sejak usia dua tahun untuk memastikan perkembangan yang efektif berlaku pada fasa perkembangan kritikal.
Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak autisme turut diberikan perhatian serius dengan pemberian cuti khas, elaun penjagaan serta akses kepada program bimbingan psikologi dan kumpulan sokongan.
Ini bagi memastikan keluarga turut diberi ruang untuk menyesuaikan diri dan membina sokongan emosi dalam menjaga anak istimewa mereka.
3. Jepun
Jepun terus menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu kanak-kanak autisme menerusi pelbagai inovasi teknologi yang dicipta khas untuk meningkatkan kualiti hidup dan pembelajaran mereka.
Negara Matahari Terbit itu terkenal dengan kepakaran dalam robotik dan kecerdasan buatan (AI) dan kini teknologi tersebut dimanfaatkan sepenuhnya dalam bidang pendidikan khas kanak-kanak autistik.
Antara sumbangan utama ialah pembangunan robot sosial dan pendidikan seperti 'Kibiro', 'Pepper' dan 'QTrobot' yang direka untuk membantu kanak-kanak autisme belajar berkomunikasi secara berperingkat tanpa tekanan.
Robot-robot ini dilengkapi dengan sensor ekspresi wajah dan arahan suara untuk menggalakkan interaksi sosial dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.
Teknologi robotik seperti 'Kibiro' dan 'Pepper' menjadi alternatif bantuan pendidikan golongan autisme di Jepun. — Gambar hiasan/Agensi
Aplikasi perisian pintar
Negara matahari terbit itu turut membangunkan aplikasi dan perisian pintar yang direka khusus untuk membantu kemahiran komunikasi mereka.
Contohnya, aplikasi 'Auti-Sim' dan 'Voice4u' digunakan untuk membantu kanak-kanak autisme memahami situasi sosial dan meluahkan kehendak menerusi gambar atau suara digital.
Teknologi Realiti Maya (VR) dan Realiti Tambahan (AR) turut dipraktikkan untuk latihan kemahiran sosial kumpulan kanak-kanak tersebut.
Dengan menggunakan set kepala VR, kanak-kanak autisme dapat belajar bagaimana untuk berinteraksi dalam senario dunia sebenar seperti membeli barang, menaiki bas atau berada di bilik darjah tanpa sebarang risiko tekanan.
Kerajaan Jepun menyokong pembangunan teknologi ini dengan peruntukan dana khas untuk penyelidikan serta galakan kerjasama antara institusi pendidikan, syarikat teknologi dan hospital kanak-kanak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram