Anak sayu pemergian ibu di Tanah Suci, nota terakhir arwah jadi pedoman ramai


  • Maya
  • Sabtu, 24 Mei 2025

Tangkap layar nota terakhir peninggalan seorang wanita yang dilaporkan meninggal dunia di tanah suci sekitar April lalu.

KEHILANGAN ibunda tercinta merupakan satu situasi yang amat ditakuti setiap insan di muka bumi.

Namun, sedar atau tidak perkara tersebut akan berlaku dan ketahuilah pemergian itu tidak bersyarat dan terjadi bila-bila masa sahaja tanpa diduga.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian seorang pemuda, Abdul Aziz Che Noranuwi, 21, apabila ibunya, Hamidah Darus, 60, menghembus nafas terakhir ketika mengerjakan ibadah umrah sekitar April lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tak sayang badan ke?', isteri Fizo Omar mohon jaga sensitiviti wanita, syukur suami beri sokongan

BACA LAGI: Elak guna 'essential oil' sebagai rawatan alternatif untuk kanak-kanak, berisiko jejas tumbesaran si kecil

Lebih menyayat hati, Allahyarhamah difahamkan meninggal dunia ketika sujud menunaikan solat Subuh di Makkah.

"Umi, aku reda. Walau jiwa ini masih menangis dalam diam. Aku percaya, ALLAH telah memberikan umi kemuliaan yang tak ternilai.

"Tidurlah dengan tenang di bumi yang diberkati. Sampai kita bertemu kembali, dalam pelukan yang abadi di syurga yang ALLAH janjikan," katanya menerusi akaun TikTok.

Pun begitu, Abdul Aziz baru-baru ini berkongsi sekeping nota usang tulisan terakhir ibunya yang dijumpai di kediamannya.

Seolah-olah sudah tahu bakal dijemput ilahi, pesanan arwah cukup menusuk ke dasar hati dan meninggalkan kesan mendalam di hati pembaca.

 

Mematikan diri sebelum mati.

Tasawuf mengajar aku satu perkara,

Bahawa kehidupan sebenar bukan tentang apa yang kita miliki,

Tapi apa yang kita sanggup lepaskan.

Bila hati dibuka hanya ALLAH yang dilihat.

Ada pun takpa.

Tak ada pun takpa.

Disanjung pun takpa.

Dihina pun takpa.

 

Demikian merupakan antara coretan terakhir arwah ibunya yang dijumpai ketika sedang mengemas barangan peninggalannya.

Meraih perhatian ramai warga maya di laman sosial, personaliti dan pengacara terkenal, Fedtri Yahya turut memuat naik hantaran itu di laman Threads.

 

 

 

 

Disifatkan sebagai satu tulisan yang sangat indah dan peringatan terhadap sang pencipta, rata-ratanya menyimpan keratan itu sebagai pedoman di kemudian hari.

"Tulisan yang sangat indah dan bagus untuk peringatan diri, berdamai dengan takdir ALLAH, jalani saja, ikhtiarkan qada, nikmati qadar, hasil tawakaltu Alallah," kata fajarsutejo.

"Selama hidupnya, she must be someone so special and dear to everyone, I will save the notes, semoga mengalir pahal buat arwah," ujar phyaaaa.

"Kata-kata yang menghidupkan tauhid hati, kematian yang sangat dicemburui, salam takziah buat keluarganya," tambah iamzindd.

Difahamkan, Allahyarhamah menghidap kencing manis, namun disahkan sihat dan layak menunaikan umrah selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

Pemergiannya mengundang sebak ramai pengguna laman sosial yang juga turut merasakan kehilangan insan hebat tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram