Kena marah, dimalukan, anak simpan memori pahit sebagai satu bentuk ancaman, jadi 'parut' apabila dewasa


  • Bonda
  • Selasa, 27 Mei 2025

Kanak-kanak berdepan tekanan ataupun bersedih berisiko tinggi kehilangan motivasi diri. — Gambar hiasan/Agensi

'CIKGU marah saya depan kawan-kawan, saya malu sangat, sampai sekarang saya ingat'.

Ayat ini mungkin kedengaran biasa, namun bagi seorang kanak-kanak, ia meninggalkan kesan dan parut kekal terhadap emosi mereka dalam jangka masa panjang.

Seorang pakar dan terapi cara kerja kanak-kanak, Norzi Malek menekankan bahawa golongan itu mudah mengingati pengalaman menyakitkan berbanding yang menggembirakan.

 BACA LAGI: Panduan ibu hamil, ketahui 10 istilah perubatan dalam 'buku pink'

 BACA LAGI: Sihat atau tidak? Panduan ibu bapa kenal pasti jenis muntah bayi berdasarkan warna

Jelasnya, otak manusia termasuk kanak-kanak, dicipta secara semula jadi untuk mengutamakan perlindungan diri. 

Justeru, apabila berlaku situasi dianggap menyakitkan seperti dimarahi atau dimalukan, bahagian otak dikenali sebagai amygdala akan menyimpan memori itu sebagai satu bentuk ancaman.

Berbeza dengan situasi gembira, memori kanak-kanak tidak mengaktifkan mekanisme pertahanan otak yang kuat dan ia mudah dilupakan melainkan diulang secara konsisten.

Kanak-kanak perlu diberikan sokongan moral oleh ibu bapa ataupun keluarga terdekat. — Gambar hiasan/Agensi

Punca luka emosi kanak-kanak

Terdapat beberapa faktor yang menjadikan emosi kanak-kanak sukar difahami:

1. Tiada ruang meluahkan perasaan

Anak yang tidak tahu kepada siapa mahu mengadu, akhirnya terperangkap dengan emosi sendiri.

2. Pengalaman berulang

Setiap kali kanak-kanak menangis selepas dimarahi akan membentuk kepercayaan negatif terhadap diri sendiri selain boleh mewujudkan tekanan dan stres ke atas mangsa.

3. Tiada penjelasan

Tanpa memahami sebab dimarahi atau dihukum, kanak-kanak akan mentafsir kejadian itu sebagai kekasaran dan penderaan fizikal.

4. Anak yang sensitif

Kanak-kanak yang mempunyai tahap empati tinggi cenderung untuk menganggap situasi sedih sebagai trauma.

Kesan jika tidak dirawat

Antara kesan jangka panjang termasuk:

- Sukar mempercayai orang dewasa.

- Mudah trigger dan overthinking.

- Pendam emosi dan mudah melenting.

- Meniru komunikasi kasar dipelajari.

- Membentuk jati diri dan fahaman negatif seperti "saya tidak cukup baik."

Langkah pemulihan emosi anak

Berikut merupakan beberapa pendekatan boleh dijalankan untuk menyembuhkan emosi kanak-kanak.

1. Kenal pasti perasaan anak dan kesalahan diri

Akui kesilapan lalu dan beri ruang untuk meraih kepercayaan semula daripada si kecil dengan cara meminta maaf atas kesalahan dilakukan.

2. Bina pengalaman baharu yang positif

Pelukan, perhatian kecil dan konsistensi membantu memulihkan tekanan otak anak.

3. Guna pendekatan naratif

Galak anak melukis, menulis atau menceritakan semula dalam suasana lebih selamat dan selesa.

4. Rujuk bantuan profesional 

Jika anak mengalami trauma serius, segera dapatkan khidmat kaunselor ataupun terapis.

Dalam pada itu, kehidupan seharian kanak-kanak lazimnya sukar difahami terutamanya ketika sedang bersedih ataupun kecewa.

Justeru, tidak salah untuk ibu bapa ataupun ahli keluarga terlebih dahulu memohon maaf sekiranya pernah menyakiti si kecil secara sengaja ataupun tidak sengaja.

Tindakan itu bukan sahaja mampu mendamaikan semula keadaan, bahkan hubungan dan ukhwah kekeluargaan itu akan lebih erat jika saling memaafkan satu sama lain. 

Dengar anak dan hormati emosi mereka. Bukan kerana mereka sentiasa betul, tetapi kerana ia merupakan proses mendewasa dan ibu bapa seharusnya tidak membiarkan mereka membesar dengan kesan luka dari perbuatan diri sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram