Rangkaian 5G berkelajuan tinggi di Sidang Kemuncak Asean ke-46 umpama 'tulang belakang' diplomasi digital Malaysia


  • Massa
  • Khamis, 29 Mei 2025

Penyediaan infrastruktur internet berkelajuan tinggi sempena persidangan berprestij itu penting untuk menzahirkan imej Malaysia sebagai negara berdaya saing.

USAHA Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menyediakan sambungan internet bertaraf dunia terus diperkukuh apabila Sidang Kemuncak Asean ke-46 dilengkapi dengan rangkaian 5G berkelajuan tinggi hasil inisiatif badan itu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, kemudahan sambungan yang disediakan mampu mencapai kelajuan sehingga 1Gbps pada satu-satu masa .

Ia merupakan satu pencapaian yang menggambarkan keseriusan Malaysia dalam menawarkan infrastruktur komunikasi moden dan setanding di peringkat antarabangsa.

Fahmi Fadzil yakin terhadap kemudahan yang mampu mencapai kelajuan sehingga 1Gbps pada satu-satu masa.

BACA LAGI: MCMC lancar Kempen Internet Selamat, tangani masalah buli siber dan penipuan online

BACA LAGI: PPR bakal ada 'hotspot' tanpa wayar menjelang 2025

Pakar keselamatan siber, Dr Suresh Ramasamy berkata, langkah itu bukan sahaja menunjukkan kematangan Malaysia dalam pembangunan rangkaian 5G, malah memperkukuh peranannya sebagai pelopor transformasi digital di rantau Asean.

Menurutnya, MCMC telah lama menerajui usaha pembangunan 5G melalui pelaksanaan model rangkaian borong tunggal  (SWN) yang dikendalikan oleh Digital Nasional Berhad (DNB). 

"Justeru ia satu pendekatan unik dan progresif yang menunjukkan MCMC sebagai pelopor tidak takut mencuba strategi baharu demi kemajuan negara, sekali gus mempamerkan kesiapsiagaan digital Malaysia,” katanya kepada Majoriti.

Rangkaian 5G membolehkan urus niaga rentas negara dijalankan dengan lebih lancar.

Tambah beliau, penyediaan infrastruktur internet berkelajuan tinggi sempena persidangan berprestij itu adalah penting untuk menzahirkan imej Malaysia sebagai negara berdaya saing seiring negara Asean yang maju seperti Singapura.

“Daripada perspektif geopolitik digital, Malaysia harus menonjolkan kekuatan dalam telekomunikasi kerana ia mencerminkan tahap kemajuan dan daya saing negara.

"Keupayaan membuat liputan secara langsung menjadikan keperluan terhadap capaian internet berkelajuan tinggi yang stabil penting untuk memastikan momen bersejarah dapat disaksikan masyarakat dan pemimpin dunia,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Suresh turut menekankan bahawa usaha tersebut malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju transformasi digital serantau.

Beliau menambah, rangkaian telekomunikasi kini adalah tulang belakang kepada segala bentuk modenisasi. 

"Keupayaan kita menyediakan perkhidmatan canggih ini memberi gambaran bahawa Malaysia serius dalam memacu pembangunan digital bukan sahaja dalam negara, malah di seluruh Asean,” katanya.

Dalam konteks ekonomi digital serantau pula, beliau turut menyentuh potensi besar pertumbuhan e-dagang Asean yang disokong oleh kestabilan dan kelajuan rangkaian 5G.

Ujarnya, dengan kewujudan ‘perang tarif’ antara negara Barat, Asean berpotensi menjadi hab e-dagang yang lebih besar. 

"Rangkaian 5G akan membolehkan urus niaga rentas negara dijalankan dengan lebih lancar, pantas dan boleh dipercayai.

"Usaha MCMC ini sekali gus membuktikan komitmen Malaysia dalam membina ekosistem digital yang mampan dan inklusif, seiring aspirasi negara menuju status ekonomi digital sepenuhnya menjelang 2030,” jelas beliau.

Suresh berkata, inisiatif MCMC menunjukkan kematangan Malaysia dalam pembangunan rangkaian 5G.

Langkah proaktif kerajaan memastikan liputan internet pantas, stabil dan menyeluruh sepanjang sidang kemuncak itu dilihat sejajar dengan objektif utama pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) iaitu memperkukuh infrastruktur digital negara dan memperluas capaian internet ke seluruh pelosok negara termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.

Inisiatif yang digerakkan MCMC sejak 2020 itu berjaya melepasi sasaran awal dengan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi dan sambungan gentian optik kepada lebih 9.03 juta premis menjelang akhir 2024. 

Inisiatif itu menjadi asas penting dalam penyediaan jaringan 5G yang menyokong acara seperti Sidang Kemuncak Asean ke-46.

Infrastruktur digital mampan 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil menyambut baik pencapaian negara dalam meluaskan capaian rangkaian 5G yang kini mencapai 82.4 peratus kawasan berpenduduk sehingga Disember 2024. 

Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membina infrastruktur digital yang mampan dan mempercepat transformasi negara ke arah pendigitalan menyeluruh.

Malaysia kini katanya, berada dalam kalangan negara yang terpantas memperluas akses kepada komunikasi moden. 

"Namun capaian ini perlu disertai dengan pemantauan telus, penilaian impak kepada pengguna dan peningkatan kualiti perkhidmatan secara berterusan,” katanya.

Siraj menegaskan, statistik teknikal semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya pengalaman digital pengguna sebenar perlu diberi keutamaan. 

Jelas beliau, teknologi 5G membawa pelbagai manfaat dalam kehidupan seharian rakyat termasuk mempercepat capaian maklumat, penstriman video tanpa gangguan, pembelajaran dalam talian serta mendorong perkembangan rumah pintar dan ekosistem Internet of Things (IoT).

"Perkhidmatan perbankan digital, e-dagang dan sektor teknologi kewangan turut menerima manfaat daripada rangkaian 5G yang lebih stabil dan pantas," ujarnya.

Siraj berkata, kemajuan 5G bukan sahaja membawa kelebihan dari segi kelajuan, tetapi juga cabaran baharu dari segi keselamatan data dan privasi pengguna. 

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa manfaat teknologi 5G tidak semestinya dapat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.

“Masih wujud jurang digital yang ketara terutama di kawasan pedalaman, dalam kalangan warga emas, komuniti B40 dan mereka yang kurang celik teknologi. 

"Oleh itu, pelaksanaan teknologi canggih seperti 5G perlu disertai dengan dasar yang inklusif dan program pendidikan digital menyeluruh,” jelasnya lagi.

Keselamatan siber jadi keutamaan

Sebagai langkah memperkasa pengguna dalam era teknologi tinggi ini, MCCA menjalankan pelbagai program literasi digital yang memberi tumpuan kepada keselamatan siber, pengurusan privasi dan hak pengguna digital. 

Menurut Siraj, kemajuan 5G bukan sahaja membawa kelebihan dari segi kelajuan, tetapi juga cabaran baharu dari segi keselamatan data dan privasi pengguna. 

Justeru, MCCA mengambil tanggungjawab untuk mendidik pengguna tentang risiko yang wujud dalam ekosistem digital berasaskan 5G. 

"Kami menjalankan pelbagai program literasi digital di sekolah, universiti, komuniti serta agensi awam dan swasta.

"Melalui program LItDigital yang sudah bermula di Negeri Sembilan dengan kerjasama Yayasan Negeri Sembilan, Majlis Guru Kaunseling Negeri Sembilan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilam, MCCA menggerakkan kesedaran tentang kepentingan literasi digital yang merujuk kepada modul terbitan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO)," maklumnya.

Di samping itu, MCCA juga bertindak sebagai pengantara antara pengguna dan agensi penguatkuasa dalam menangani isu penyalahgunaan data digital, selain berperanan memberikan pencerahan melalui rangkaian media tempatan dan antarabangsa.

"MCCA percaya bahawa kemajuan teknologi mesti bergerak seiring dengan pendidikan pengguna. 

"Oleh itu, kejayaan sebenar teknologi 5G bukan terletak pada liputan semata-mata, tetapi pada sejauh mana ia memperkasa pengguna untuk menjadi warganegara digital yang selamat, beretika dan berdaya saing," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram