KERAJAAN akan memastikan capaian internet yang secukupnya disediakan khusus buat pelajar kawasan berkepadatan rendah, desa dan pedalaman untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan ia supaya tiada lagi situasi pelajar terpaksa memanjat pokok hanya untuk mendapatkan rangkaian internet.
"Saya sudah beritahu Menteri Digital (Gobind Singh Deo), mulai akhir tahun ini sehingga seterusnya tidak ada lagi pelajar yang panjat pokok untuk dapatkan liputan kerana kita ada 5G.
"Kita ada 5G, maka hal ini, kita akan terus buat coverage bagi kawasan pendudukan rendah, low density, agar dapat beri liputan terutamanya di kawasan Felda, desa, Orang Asli dan pedalaman wajib diberikan coverage secukupnya," katanya pada Khamis.
BACA LAGI: Pemandu mabuk tak mengaku salah langgar Nur Masyitah Lebuhraya EDL
Zahid mengumumkan kerajaan sentiasa memastikan kebajikan semua pelajar. — The Star
Pada masa sama, Zahid berkata, sebanyak 8,104 makmal komputer di sekolah perlu dinaik taraf dan mampu digunakan sepenuhnya oleh guru dan murid sekolah dalam usaha memastikan Dasar Pendidikan Digital mencapai objektif yang digariskan.
"Saya mohon pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk jadikan perkara ini keutamaan agar kerja dan peranan para guru sebagai 'Jauhari Digital' dipermudahkan.
"Selain itu, saya turut dimaklumkan pembekalan peranti pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid di makmal komputer telah kita laksanakan secara berfasa.
"Bermula dari 2022 sehingga kini, ia telah memanfaatkan 11,220 sekolah dengan 213,014 unit komputer riba telah disediakan. Saya akan berbincang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dana tambahan untuk pembekalan peranti ini dapat diluluskan seperti yang dipohon oleh pihak kementerian," katanya lagi.
Katanya, kerajaan juga akan berbincang dengan Perdana Menteri supaya KPM akan diberikan bajet lebih tinggi dalam belanjawan akan datang berbanding sebelum ini iaitu sekitar RM58.7 bilion dalam Bajet 2024 dalam menyediakan peralatan pembelajaran mencukupi serta pelbagai inisiatif lain.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, negara yang ketika ini berada dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR), memerlukan sistem pendidikan yang melahirkan murid fasih teknologi digital agar mereka dapat dipersiapkan untuk bersaing dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang selari dengan evolusi dunia digital. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram