Pengguna hanya perlu 27 sen sehari untuk nikmati khidmat jalur lebar


  • Primer
  • Selasa, 21 Dis 2021

ZAHIDI menjawab soalan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa. — Bernama
PENGGUNA secara umumnya boleh menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih dengan harga serendah 27 sen sehari.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pakej asas jalur lebar mudah alih prabayar ditawarkan pada harga RM10 manakala harga pakej asas jalur lebar mudah alih pascabayar ditawarkan pada harga RM8.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memantau pakej dan harga ditawarkan kepada pengguna bagi memastikan mereka dapat menikmati internet pada harga yang berpatutan,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Negara pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai strategi kerajaan dalam memastikan harga capaian internet 4G adalah berpatutan terutamanya untuk golongan B40.

Zahidi berkata, pembekal perkhidmatan mudah alih utama juga menawarkan internet secara percuma sebanyak 1 gigabit (GB) setiap hari, bersamaan 30GB data percuma setiap bulan bermula dari 1 April 2020 sehingga akhir tahun ini.

Selain pakej asas, Zahidi berkata, kebanyakan syarikat telekomunikasi mudah alih utama juga telah menawarkan pakej data tanpa had untuk pelan prabayar pada harga serendah RM30 sebulan mulai Jun 2020, bersamaan RM1 sehari.

"Digi (syarikat telekomunikasi) juga menawarkan pakej khas data kepada belia berumur 12 hingga 24 tahun yang melanggan pakej prabayar, pada harga RM30 sebulan untuk 15GB data kelajuan tinggi," katanya.

Beliau berkata, bagi perkhidmatan jalur lebar tetap berkelajuan tinggi, ada syarikat penyedia perkhidmatan yang menawarkan pakej asas 30 Megabit sesaat (Mbps) pada harga RM80 sebulan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram