Johor, MCMC meterai kerjasama strategik perkukuh infrastruktur digital termasuk perluas liputan internet


  • Primer
  • Isnin, 21 Apr 2025

Dari kiri: Onn Hafiz; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani; Tunku Mahkota Ismail; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Fahmi Fadzil ketika majlis menandatangani MoU kerjasama stragegik tersebut pada Isnin.

KEMENTERIAN Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Isnin menjalin kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Johor dalam usaha memperkasa infrastruktur digital serta memperluas liputan rangkaian Internet di negeri itu.

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Majlis Bandaraya Johor Bahru, Johor pada Isnin.

Dalam satu kenyataan bersama, MMC dan Kerajaan Negeri Johor memaklumkan Pelaksanaan inisiatif kerjasama tersebut dianggar memerlukan peruntukan sebanyak RM300 juta dalam tempoh dua tahun mendatang, bagi memastikan pelaksanaan dan objektifnya tercapai.

BACA LAGI: Gerai masakan Pantai Timur 'bungkus', wanita asal Kota Bahru buka agensi pelancongan teroka destinasi unik Eropah antaranya buru cahaya aurora

BACA LAGI: Berkat jaga ibu di Muar, tinggalkan bisnes di KL, Bahar raih pendapatan lumayan teroka sektor pertanian

"Kementerian Komunikasi dan MCMC akan meningkatkan capaian Internet khususnya untuk menggalakkan penggunaan aplikasi mudah alih oleh orang awam dengan memasang Wi-Fi awam baharu untuk digunakan dengan selamat oleh orang awam dan juga pelancong menerusi inisiatif Johor Safe City.

"Kerjasama ini turut merangkumi peningkatan liputan dan komunikasi mudah alih untuk menggalakkan penggunaan aplikasi teknologi pintar dan kecerdasan buatan (AI) oleh agensi Kerajaan, pihak swasta dan orang awam di seluruh Johor.

"Perluasan liputan 5G akan dilaksanakan di kawasan berimpak tinggi termasuk pusat transit awam dan kemudahan sukan, kawasan perindustrian, tempat tumpuan pelancong dan di kawasan projek pusat data di Johor untuk menyokong dan merancakkan transformasi ekonomi dan digital Johor," kata kenyataan itu.

Majlis pertukaran MoU tersebut turut disaksikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim; Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Johor sebelum ini diiktiraf sebagai lokasi paling pesat berkembang untuk pusat data di seluruh Asia Tenggara. 

Jumlah kapasiti pusat data Johor dijangka terus meningkat dan melepasi tanda 2.7 Gigawatt (GW) pada 2027.

Mengulas lanjut, kenyataan tersebut turut menyentuh mengenai potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin pelaburan baharu di Johor.

Disebabkan itu, ia berkata, kerjasama tersebut juga akan memastikan kawasan JS-SEZ mempunyai infrastruktur digital dan capaian Internet kukuh, stabil dan menyeluruh, untuk menyokong peningkatan perdagangan dan perniagaan di kawasan ini.

"Menerusi pelaksanaan MoU ini, MCMC akan mendokong Negeri Johor ke arah transformasi teknologi dan ekonomi yang progresif, serta model kerjasama antara Kerajaan negeri dan persekutuan dalam memacu pembangunan ekosistem negara berteknologi tinggi," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram