[VIDEO] Imigresen cawangan Kajang, Kelana Jaya dan Wangsa Maju terima permohonan pasport secara online bermula Jun


  • Primer
  • Selasa, 16 Mei 2023

Ketiga-tiga cawangan tersebut masih menerima permohonan secara 'walk-in' untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

PEMBAHARUAN pasport secara dalam talian akan diperkenalkan di cawangan imigresen Kajang, Kelana Jaya dan Wangsa Maju bermula Jun.

Ini bermakna ketiga-tiga cawangan tersebut tidak lagi menerima permohonan secara 'walk-in' untuk individu yang berumur antara 13 hingga 59 tahun.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketiga-tiga cawangan itu dipilih memandangkan mereka mengeluarkan jumlah pasport yang tinggi.

“Antara sebab lain keputusan ini dibuat adalah kerana ketiga-tiga cawangan berkenaan terletak di kawasan yang mempunyai jaringan internet penuh.

"Saya juga dimaklumkan lokasi ini mempunyai 90 peratus liputan internet 5G," katanya pada Selasa.

Saifuddin Nasution

Beliau berkata, cawangan-cawangan tersebut masih menerima permohonan secara 'walk-in' untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun serta ahli keluarga yang menemani mereka.

“Mereka juga akan menerima (permohonan) 'walk-in' untuk OKU, golongan yang berumur 60 tahun ke atas serta jemaah haji dan pelajar di bawah umur 21 tahun yang menerima tawaran untuk belajar di luar negara.

"Jabatan juga sedang menaik taraf mekanisme permohonan dalam talian bagi pemohon pasport kali pertama yang berumur 18 tahun ke atas termasuk warga emas," katanya.

Ujar Saifuddin, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, cawangan Imigresen Kajang, Kelana Jaya dan Wangsa Maju telah mengeluarkan sejumlah 91,931 pasport (masing-masing 32,788, 38,417 dan 20,726 pasport).

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, sebanyak 2,347,493 pasport dikeluarkan di seluruh negara antara April dan Disember tahun lepas.

“Sehingga 12 Mei tahun ini, sebanyak 1,674,293 pasport dikeluarkan di seluruh negara dengan 464,725 daripadanya dibuat secara dalam talian,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram