
KEMENTERIAN Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Isnin melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) Wilayah Utara bagi memperkukuhkan keselamatan dalam talian (online) di samping membina komuniti digital yang berdaya tahan.
Dalam satu kenyataan, MCMC berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah berterusan dilaksana bagi memperkasakan literasi digital terutamanya dalam menangani cabaran seperti buli siber, penipuan dalam talian, perjudian siber, dan eksploitasi seksual kanak-kanak.
Katanya, seramai lebih 100,000 peserta di seluruh Wilayah Utara merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak dijangka terlibat dalam kempen tersebut pada tahun ini.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
Fahmi (enam dari kiri) ketika hadir merasmikan Kempen Internet Selamat Wilayah Utara di Langkawi pada Isnin.
"Antara aktiviti dianjurkan termasuk sesi taklimat dan aktiviti interaktif Modul Keselamatan Internet khusus untuk kanak-kanak bawah 13 tahun, perkongsian Modul Keselamatan Internet untuk guru dan ibu bapa, serta pertandingan Choral Speaking dan Menu Viral bertemakan Keselamatan Internet," menurut kenyataan itu.
Pelancaran program itu di Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka, Langkawi, Kedah dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan turut dihadiri lebih 1,800 peserta termasuk pelajar dari 22 sekolah, guru, ibu bapa, pemimpin komuniti, serta wakil pelbagai agensi berkepentingan.
Dalam kenyataan sama, MCMC menegaskan bahawa kempen tersebut adalah satu komitmen dalam membangun masyarakat digital yang selamat dan berpengetahuan.
Hadir sama dalam majlis perasmian itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Mohd Kamil Hashim dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka, Rizal Mohd Yusof. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram