Kecoh dituduh punca guru, murid jatuh jeti usang roboh di Semporna, ini jawab Shafie Apdal


  • Tular
  • Isnin, 30 Jan 2023

Tangkap layar video kelihatan murid-murid ketakutan dan menangis apabila melihat beg mereka ditenggelami air.

ISTILAH "malang tidak berbau" adalah ungkapan yang sering diucapkan bagi mengingatkan kita bahawa kecelakaan atau musibah hadir tanpa sebarang tanda atau isyarat.

Itu yang dialami oleh sekumpulan pelajar dan murid-murid dari sebuah sekolah rendah di Pulau Pababag, Semporna, Sabah apabila mereka terjatuh ke dalam laut selepas jeti di pulau berkenaan roboh, pada awal pagi Isnin.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada keadaan jeti yang terlalu usang namun semua yang terlibat dipercayai selamat tanpa sebarang kecederaan.

Kejadian tersebut dipercayai berjaya dirakam menerusi telefon pintar salah seorang individu yang berada di lokasi kejadian.

Menerusi rakaman tersebut, murid-murid berkenaan berenang menyelamatkan diri sambil dibantu beberapa orang guru yang terlibat dalam kemalangan terbabit.

Selain itu ada juga murid-murid yang kelihatan ketakutan dan menangis apabila melihat beg mereka ditenggelami air.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai menunding jari kepada YB Semporna.

"Semoga semuanya dalam keadaan selamat, terima kasih cikgu-cikgu sebab tolong selamatkan murid-murid sekolah," ucap Nuriani Snowy.

"Inilah akibatnya jika para pemimpin,YB atau menteri asyik berpolitik berebut kuasa hingga mengabaikan kemudahan rakyat, sepatutnya mereka mengambil iktibar dgn kejadian suatu ketika dulu apabila Shafie Apdal bersama rombongannya jatuh ke dalam air laut disebabkan jeti roboh," jelas Jasmen Sileh.

"Mana Shafie Apdal? Tak pergi melawat kawasan dia ke?" soal Saidah Ni'Ong.

"Dah berapa lama Shafie Apdal jadi YB di Semporna, takkan jeti baru tak dapat buat? Itupun ada hati nak urus Sabah, daerah pun masih terkial-kial, semoga semua baik-baik sahaja," kata Penjahat Kota.

Sebelum ini kejadian jeti runtuh pernah berlaku ketika Datuk Seri Shafie Apdal merasmikan sebuah majlis pada 2015 di Semporna, Sabah.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, beliau sudah mengarahkan jenteranya memperbaiki segera jeti berkenaan menggunakan kewangannya sendiri bukan bajet kerajaan Sabah.

"Saya sudah mengarahkan pihak berwajib membaiki segera jeti berkenaan untuk membolehkan ia digunakan seperti biasa," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, beliau sentiasa menitikberatkan keselamatan penduduk di Semporna dan mengingatkan supaya orang ramai sentiasa berhati-hati dalam musim hujan.

"‘Penting bagi saya, ialah keselamatan rakyat dan supaya jeti tersebut dapat digunakan seperti biasa.

"Kepada rakyat Semporna khususnya, berhati hati dalam musim cuaca tidak menentu ini, semua kebajikan dan kesejahteraan warga Semporna, sentiasa menjadi keutamaan saya," jelasnya yang ke kawasan berkenaan minggu lalu sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kemalangan terbabit.

Moga insiden ini menjadi pengajaran buat semua untuk tidak memandang ringan akan infrastruktur penting untuk penduduk. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram